Rabu, 2 November 2016 | 6:52am
Keratan akhbar BH.

Aksi negatif filem antara punca kes buli


- Gambar hiasan

Beberapa kes kebelakangan ini mendorong Kementerian Pendidikan bercadang mengenakan hukuman gantung persekolahan setahun untuk pelajar terbabit dengan kes buli serius. Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya memandang serius kes buli pelajar yang kian meningkat dan ini menyebabkan pihaknya mahu mengambil tindakan sesuai terhadap pelajar terbabit.

Pembuli yang digantung persekolahan itu akan melakukan kerja kebajikan atau dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak dalam tempoh yang akan dibincangkan oleh kementerian itu. Hukuman itu dicadangkan bagi mengelak pembuli dibuang sekolah hingga pelajar itu akan tercicir persekolahan dan mudah terdedah aktiviti tidak sihat. Cadangan itu adalah syarat kepada pembuli untuk diterima masuk semula ke sekolah. Pembuli juga terpaksa mengulangi persekolahan semula dan jika pelajar itu mengambil peperiksaan, dia mesti menangguhkannya semula hingga tahun depan.

Apabila saya mengutarakan soalan berkaitan kajian kes buli dalam kalangan pelajar, beberapa ibu bapa mengatakan ia disebabkan pelajar meniru apa yang ditonton dalam filem, televisyen atau media elektronik lain. Filem berkaitan buli juvana menarik minat pelajar untuk menunjukkan mereka lebih 'hebat' berbanding rakan lain, khususnya yang tinggal di asrama. Benarkah kenyataan bahawa filem mempengaruhi pelajar menjalankan aktiviti buli di sekolah?

Faktor rakan sebaya

Berdasarkan dapatan kajian saya menunjukkan, antara faktor membuli adalah faktor rakan sebaya mempunyai pengaruh paling kuat untuk mengubah tingkah laku pelajar. Aktiviti membuli juga terdiri daripada individu yang gagal mengendalikan emosi dengan baik. Golongan ini biasanya ada pada kanak-kanak hiperaktif atau cergas yang melampau serta sering bersikap tidak pernah mengambil peduli perasaan orang lain.

Kebanyakan kes pembuli terdiri daripada mereka yang tidak berjaya dalam pelajaran, nakal dan mempunyai masalah disiplin. Ada juga kes ingin menunjukkan kekuatan sendiri dan berasa seronok melihat orang lain diseksa. Faktor terakhir dalam kajian saya menunjukkan kes buli disebabkan media massa yang memaparkan aksi, pertuturan dan tingkah laku yang ditayangkan di media elektronik serta media cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon itu menjadi role model bagi golongan remaja.

Buli membabitkan perbuatan mengasari orang yang lemah, bertujuan menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Buli juga membabitkan tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk fizikal atau psikologikal yang dilakukan secara berulang kali ke atas mangsa dan ia bertujuan mendatangkan perasaan tidak selesa, aman, tenteram dan harmoni.

Secara keseluruhannya, perbuatan membuli adalah perbuatan tidak baik dan membuatkan orang lain boleh menjadi mangsa serta mendatangkan ketidakselesaan kepada orang lain. Tindakan kasar dan di luar perikemanusiaan membabitkan pukul-memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut, menolak, mencubit atau sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan. Malah, paling ganas boleh menyebabkan kematian.

Tindakan sebegini menjadi punca kepada kecenderungan besar akan menjadi penjenayah apabila dewasa kelak, malah tindakan agresif ini juga menjadi punca kepada kes rogol, rompak atau menjadi seorang pendera terhadap isteri.

Buli dalam bentuk psikologi

Pembuli juga boleh dilihat dalam bentuk psikologi seperti ejek mengejek. Mangsa pembuli sebenarnya didera dari segi mental sehingga hilang keyakinan diri, membiarkan diri diperlakukan apa sahaja, sanggup melakukan sesuatu demi membahagiakan orang lain, tidak mahu ke sekolah dan sebagainya. Sehinggakan ada yang sanggup mencederakan diri sendiri kerana berasakan diri mereka tidak berguna.

Semua pihak memainkan peranan dalam mengekang kes buli, terutama di sekolah berasrama. Kajian reaksi, sama ada melalui soal selidik atau bersurat perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengesan kes buli di sekolah.

Taklimat pencegahan buli dan 'amaran' perlu dilakukan oleh pihak sekolah setiap penggal persekolahan. Sekolah perlu mempunyai peraturan jelas dan tegas berkaitan buli tanpa melindungi kes yang diadukan. Bukan sekadar menampal poster antibuli di sekolah, tetapi juga mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama ibu bapa.

Setiap pelajar hendaklah diberi senarai peraturan berkenaan tingkah laku buli dan hendaklah menandatangani dokumen itu dan satu salinan disimpan dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut menandatangani peraturan berkenaan. Ini adalah tingkah laku antara pelajar dan ibu bapa atau penjaga dengan sekolah.

Maklumat yang terkandung dalam risalah merangkumi konsep buli, petua mudah untuk menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli, contohnya talian hotline buli. Malah, tindakan disiplin, merotan, dan buang sekolah adalah hukuman sewajarnya kepada pembuli. Penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah secara tidak langsung dapat mengekang kejadian gengsterisme.

Perlu juga diwujudkan satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah membabitkan pengetua sekolah, guru kaunseling, guru disiplin, wakil ibu bapa dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya.

Hukuman pergantungan persekolahan ini masih pada peringkat kajian dan kementerian mengalu-alukan NGO bersama-sama memberi pendapat bagi mengatasi masalah itu. Namun, yang penting isu buli di sekolah adalah kes yang perlu ditangani bersama, demi masa depan anak-anak kita bersama.

Penulis adalah Penyelidik Majlis Profesor Negara merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM

207 dibaca
Berita Harian X