Rabu, 2 November 2016 | 12:02am

Zarul tunai hajat arwah ibu sertai program realiti GV

KUALA LUMPUR: Jejaka berstatus suami orang ini tiba-tiba hangat diperkatakan sejak kembali aktif dalam dunia seni.

Berwajah kacak dan awet muda, siapa tidak kenal, Zarul atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin, 43. Sebelum ini, jejaka berasal dari Kelantan ini mencipta nama bersama band pop, Umbrella pada sekitar pertengahan 1990-an.

Mengikuti perjalanan Zarul, dalam musim ketiga program realiti popular, Gegar Vaganza, penyanyi ini tampil konsisten dan meyakinkan setiap kali beraksi dalam konsert mingguan.

Malah, pada konsert ketiga GV, Ahad lalu, Zarul yang mendendangkan lagu Generasiku yang dipopularkan band, OAG, memenangi cabaran Terbalik Paling Menyengat menewaskan peserta lain.

Dengan vokal mantap dan personaliti jejaka budiman, Zarul pantas mencuri tumpuan penonton GV. Tampil tenang dan tidak berlebihan, rupa-rupanya ada cerita di sebalik penyertaan Zarul pada GV3.

Tidak siapa tahu, dalam hati penyanyi ini, timbul ralat yang sukar digambarkan setiap kali dirinya tampil di pentas GV3.


ZARUL atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin. - Foto Shazreen Zamzuri

Membuka cerita, Zarul mengaku hatinya tersentuh berikutan arwah ibu yang dicintai, Mariam Husin tidak berpeluang menyaksikan dirinya bersaing dalam program realiti itu.

Dalam nada tenang, Zarul memberitahu, selama bergelar artis, arwah ibunya menjadi penyokong utama kerjaya seninya. Malah, kata Zarul, arwah ibu menyarankan dia menyertai GV sejak musim pertama lagi.

"Arwah ibu menyarankan saya menyertai GV musim pertama dulu kerana ibu merasakan ia platform yang baik untuk terus membina nama dalam bidang nyanyian.

"Ralat rasanya arwah ibu tidak sempat melihat saya membuat persembahan di GV3. Saya pasti, jika ibu ada, ibulah yang paling teruja dan gembira.

"Arwah ibu menghembuskan nafas terakhir pada Januari tahun lalu kerana serangan angin ahmar," katanya kepada BH PLUS.


ZARUL mencipta nama bersama band pop, Umbrella pada sekitar pertengahan 1990-an. - Foto Shazreen Zamzuri

ZARUL tampil konsisten dan meyakinkan setiap kali beraksi dalam konsert mingguan. - Foto Shazreen Zamzuri

Cuti tanpa gaji tiga bulan

Menjadikan amanat ibu sebagai azimat, Zarul akhirnya nekad menyertai musim ketiga GV.

Lantas, Zarul yang selama ini komited dengan tugasnya sebagai pramugara Penerbangan Malaysia (MAS), mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan.

Bukan mudah meyakinkan pihak pengurusan mengenai permohonan cutinya itu. Namun, majikan akhirnya memberi pelepasan kepada Zarul selepas melihat kesungguhan untuk bersaing di pentas GV.

"Saya masih lagi bekerja sebagai pramugara di MAS cuma mengambil cuti tanpa gaji untuk menyertai program realiti GV3.

"Pada mulanya pihak pengurusan agak berat untuk membenarkan saya mengambil cuti tanpa gaji tetapi selepas menimbangkan beberapa tujuan permohonan itu, akhirnya mereka meluluskannya.

"Terima kasih saya ucapkan kepada pihak pengurusan MAS kerana memahami situasi saya. Saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh mereka," katanya.


ZARUL mendendangkan lagu Generasiku yang dipopularkan band, OAG, memenangi cabaran Terbalik Paling Menyengat menewaskan peserta lain. - Foto Saifullizan Tamadi

Zarul berkata, paling mengujakan, MAS juga menyedari GV3 mampu memberi platform yang baik selain kesan positif kepada syarikat penerbangan kebanggaan negara itu.

Selain Zarul, seramai 11 penyanyi lain iaitu Ameng Spring, Zur Eda, Razis Ismail, Gmie Screen, Rem, Shidee Data, Nora Ariffin, Siti Sarah, Elly Mazlein, Azharina dan Intan Sarafina turut bersaing di pentas GV3.

GV3 disiarkan selama lapan minggu sejak 12 Oktober lalu. Program realiti itu dibawa secara langsung dari Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). GV3 boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Elak makanan segera

Mendekati Zarul, tidak lengkap jika soal penjagaan badan tidak diajukan.

Zarul mengaku mengelak makan makanan segera dan siap diproses seperti ikan tuna dalam tin, sosej dan nuget. Selain mengawal pemakanan, Zarul bersenam di gymnasium untuk kekal sihat.

"Memandangkan usia semakin meningkat, saya mengambil pendekatan untuk menjaga pemakanan bagi mengelak penyakit.


ZARUL mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan untuk menyertai program realiti GV3. - Foto Muhammad Sulaiman

"Petua awet muda saya adalah mengelak makanan segera dan siap diproses kerana kurang menyihatkan.

"Dihambat masa, kadang kala saya kurang bersenam. Namun, saya masih mencuba juga mengeluarkan peluh. Jika tidak sempat ke gimnasium, saya membuat senaman ringkas di rumah bagi memastikan stamina sentiasa ada," katanya.

Bagi Zarul, mengunjungi gimnasium bagi mengekalkan kesihatan selain menjaga penampilan adalah salah satu tuntutan kerjaya pramugara. Jadi, rutin itu sudah sebati dalam hidupnya.

Zarul pernah berkahwin pada usia 23 tahun dengan seorang wanita bernama Ayu dan berpisah kira-kira 12 tahun lalu. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata Puteri Ayu Nur Arisha, 19.

Zarul kemudian berkahwin dengan Intan Nur Fathihah pada 29 April 2010.

Berita Harian X