Isnin, 1 Disember 2014 | 11:51am

Ka Siong gesa masyarakat Cina mahir Bahasa Melayu

Pada hari Sabtu 15 November baru-baru ini, Datuk Dr Wee Ka Siong membuat ucapan yang wajar dihargai. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berucap dengan fasih, lancar dan tidak pelat dalam bahasa Melayu di Sekolah Menengah Persendirian Cina Yong Peng.

Beliau dilahirkan di Melaka dan terdidik di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina sebelum ke sekolah menengah kebangsaan. Ijazah pertamanya diperoleh dalam bidang kejuruteraan awam di UTM, sementara ijazah PhD dalam perancangan pengangkutan juga diperoleh dari UTM.

Faktor negeri kelahiran dan institusi pengajian tinggi di mana beliau terdidik bukan penyebab utama kepada penguasaan bahasa Melayunya yang baik. Di hadapan lebih 400 pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina Yong Peng, beliau menggesa agar pelajar dan masyarakat Cina menguasai bahasa Melayu dengan baik. Beliau menegaskan pendirian 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.'

Jarang kita dengar isu memperkasa bahasa Melayu dibangkitkan oleh ahli politik tanah air. Tokoh politik yang selalu ke hadapan dalam hal ini hanyalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Lalu kita tertanya-tanya, tidakkah isu yang membabitkan status bahasa kebangsaan negara ini turut diperjuangkan oleh ahli politik dari pelbagai latar belakang?

Dari tahun 1950-an hingga awal dekad 1980-an, isu masa depan bahasa Melayu turut menjadi tajuk pembahasan penting dalam Perhimpunan Agung UMNO. Ketika itu bukan sahaja ramai guru menyertai UMNO, malah bahasa Melayu masih dianggap sesuatu yang rapat dengan jiwa, budaya serta sukma orang Melayu.

Senario ekonomi mula berubah

Namun, mulai dekad 1980-an, senario ekonomi Malaysia mula berubah. Ekonomi pertanian mula dibayangi oleh ekonomi eksport ter-utama petroleum, getah, timah, balak dan sawit. Ini diikuti eksport barangan perkilangan dan industri lainnya. Tumpuan politik juga nampak mula beralih arah kepada sektor ekonomi baharu ini yang dilihat dapat dimanfaatkan bagi melakar masa depan negara.

Sehubungan itu, mulai dekad 1980-an juga menyaksikan - di samping peraturan baharu melarang penjawat awam bergiat aktif dalam politik - kepemimpinan guru pada peringkat bahagian dan cawangan UMNO perlahan-lahan diambil alih usahawan, ahli perniagaan atau profesional dari latar belakang ekonomi, perundangan, teknologi dan sains.

Perkembangan baharu dalam kepemimpinan UMNO di semua peringkat itu dipercayai mula mengalih radar perjuangan. Perjuangan yang bersifat budaya atau produk budaya seperti bahasa dan sastera, tidak dianggap sebagai sesuatu yang utama. Alasan mereka, semua itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, lantaran itu dilindungi.

Sejak itu pelbagai isu di luar topik bahasa, sastera dan budaya mula dibangkitkan dengan rancaknya. Dalam kepemimpinan UMNO, perjuangan bahasa kebangsaan ini seolah-oleh diserahkan kepada Muh-yiddin sahaja. Beliau yang ke hadapan dalam Bulan Bahasa Kebangsaan. Beliau sahaja dilihat amat memihak perjuangan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan melalui pelbagai pembabitan.

Milik semua

Kita ingin turut mendengar pemimpin politik yang mewakili kaum lain turut bercakap mengenai bahasa Melayu, bahasa kebangsaan dan masa depannya. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah milik rakyat Malaysia.

Menurut Ka Siong lagi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan wajar dihormati semua rakyat negara ini. Khusus bagi masyarakat Cina, beliau menggesa mereka mempelajari dan menguasai bahasa Melayu dengan baik. "Baik dalam penulisan, dan baik juga dalam pertuturan," katanya dengan tegas. "Jangan pelat apabila bercakap Melayu," tambahnya lagi.

Gesaan itu amat penting, ketika pembakuan sebutan bahasa Melayu diancam penggunaan bahasa pasar, bahasa slanga, bahasa rojak dan sebagainya. Dalam hal ini, kita selalu berasa cemburu dengan

kejayaan Indonesia yang memperlihatkan rakyat keturunan Cina dapat bertutur dalam bahasa Indonesia dengan baku dan fasih.

Kita berharap, selepas Ka Siong, akan muncul lebih ramai tokoh politik yang mewakili kaum Cina, India, Iban, dan Kadazandusun menggesa masyarakat mereka menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam penulisan dan pertuturan.

Tidak terkecuali kepemimpinan politik Melayu juga kerana orang Melayu sebagai penutur dan pemilik asal bahasa Melayu seharusnya menakhodai contoh unggul penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan dan pertuturan.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Berita Harian X