Selasa, 1 November 2016 | 5:21pm

D'Academy Asia medan Asmidar perkenal nama di Indonesia


ASMIDAR.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Asmidar, 30, menggunakan peluang menyertai pertandingan D'Academy Asia di Indonesia bagi memperkenalkan namanya di persada seni hiburan negara itu.

Pada masa sama juara Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama ini ingin memartabatkan muzik Melayu dengan menyelitkan unsurnya ke dalam lagu dangdut dipersembahkan pada pertandingan berkenaan.

Asmidar atau nama sebenarnya, Norhasmidar Ahmad, 30, berkata pertandingan itu tidak syak antara medan terbaik dalam usaha memperkenalkan muzik Malaysia kepada peminat di sana.

"Pengalaman bekerja di sini banyak mengajar saya erti berdikari kerana di Malaysia, saya berasa seperti diri dimanjakan. Sesi latihan di sini agak terhad dan seseorang penyanyi perlu berusaha sendiri bagi memastikan persembahan lancar di atas pentas.

"Saya berharap dapat mencuri peluang untuk menapak di Indonesia dengan menyertai pertandingan ini. Saya juga yakin, ia platform yang bagus untuk memperkenalkan muzik kita ke sana.

"Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menyelitkan irama Melayu dalam lagu dangdut yang dinyanyikan. Malah, tenaga pengajar juga sering memberi kritikan membina, yang memberikan impak positif terhadap persembahan saya," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada BH Online.

Biarpun kurang mahir menyanyikan lagu dangdut, penyanyi Biar Sampai Ke Bintang ini berhasrat untuk martabatkan budaya negara kita menerusi lagu tradisional dan budaya tempatan.

Asmidar turut memuji persembahan peserta dari Thailand dan Timor-Leste yang berjaya membawakan genre dangdut dengan baik. Kemantapan lenggok dan lunak suara wakil dua negara itu ketika menyampaikan lagu daripada nuansa berkenaan, katanya, memang mengagumkan banyak pihak.

"Hubungan sesama peserta dan tenaga produksi juga seperti keluarga. Masing-masing saling bertukar-tukar idea dan ilmu pengetahuan," katanya yang mengakui berasa kerdil jika dibandingkan dengan peserta lain dalam pertandingan berkenaan.

Bercerita mengenai cabaran, Asmidar berkata, perkara paling dirisaukan olehnya ialah keadaan kesihatan saat menghadapi cabaran pada setiap minggu,

"Kebanyakan peserta berada dalam keadaan kurang sihat kerana cuaca yang tidak menentu. Justeru saya amat berharap agar diberi kekuatan untuk terus bertahan," kata Asmidar.

Selain Asmidar, program nyanyian itu turut menampilkan beberapa wakil lain dari Malaysia iaitu Elda Susanti, Jiwa Firdaus, Syura, Zizi Kirana, Rojer (Dangdutstar) dan Fitri Hiswady.

Berita Harian X