Selasa, 1 November 2016 | 9:44am

Kanak-kanak 6 tahun lemas di taman tema air

BATU PAHAT: Percutian sebuah keluarga sempena Deepavali bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak berusia 6 tahun mati lemas ketika mandi di sebuah kolam renang di taman tema air terkenal di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.35 petang itu, S Rishither, disahkan maut selepas lemas ketika mandi dalam sebuah kolam yang paras kedalamannya mencecah 3.35 meter.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisoner Abdul Wahib Musa, berkata kanak-kanak berkenaan disahkan maut ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tongkang Pechah, dekat sini.

Katanya, menerusi siasatan awal, penjaga keselamatan yang juga saksi kejadian memaklumkan dia ternampak bapa mangsa S Surentharan, 35, tiba-tiba terjun ke sebuah kolam mandi di situ bagi menyelamatkan mangsa selepas mengadu mengenai kehilangan anaknya.

"Menurut bapa mangsa, seramai 9 orang ahli keluarganya mendaftar masuk ke taman tema berkenaan pada jam 3.30 petang untuk berkelah sempena cuti Deepavali namun 20 minit selepas itu beliau panik selepas mendapati anak keduanya tiba-tiba gagal dikesan sebelum memaklumkan kehilangan berkenaan kepada penjaga keselamatan di situ.

"Kanak-kanak berkenaan kemudian ditemui lemas di sebuah kolam mandi yang mempunyai paras kedalaman sehingga 3.35 meter dan ditemui berada di paras kedalaman 1.52 meter.

"Bapa mangsa cuba untuk melakukan pertolongan cemas pernafasan mulut ke mulut (CPR) namun gagal sebelum pihak pengurusan taman tema berkenaan mengejarkan mangsa ke Klinik Kesihatan Tongkang Pechah namun disahkan meninggal dunia," katanya.

Abdul Wahib berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut (SDR).

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mengunjungi taman tema supaya sentiasa berhati-hati dan waspada dengan anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Pihak pengurusan taman tema juga hendaklah bertanggungjawab ke atas keselamatan pengunjung setiap masa kerana kecuaian akan menyebabkan berlaku tragedi," katanya.

Berita Harian X