Isnin, 31 Oktober 2016 | 9:19am
FOTO hiasan.

Terap budaya integriti dalam kehidupan

PERBENDAHARAAN kata integriti pada asalnya bukanlah merujuk kepada konsep yang ada hubung kait dengan kehidupan manusia. Menurut kamus Oxford, perkataan ini yang berakar umbi dari kata adjektif bahasa Latin integer diguna pakai asalnya untuk menggambarkan keutuhan sesuatu struktur atau binaan.

Hanya pada 1659, kosa kata ini diperluaskan penggunaannya untuk membezakan konsep benar dan salah dalam kehidupan manusia. Pelbagai definisi integriti mula diketengahkan antaranya sebagai kualiti kejujuran dan ketinggian prinsip moral yang dipegang oleh seseorang individu. Selain itu, integriti turut ditakrifkan sebagai tahap konsistensi antara nilai moral yang dipegang seseorang individu dengan cerminan tingkah laku (perkataan atau perbuatan) yang ditunjukkannya.

Analogi mengenai penilaian kendiri integriti - yang masih diingat penulis ketika menghadiri kursus Training of Trainers (TOT) sejurus Pelan Integriti Nasional (PIN) dilancar pada 2004 - adalah dengan membayangkan situasi di persimpangan lampu isyarat pada jam 2 pagi, ketika lampu merah menyala dan tiada sesiapa di situ kecuali diri anda sendiri.

Bermoral dan beretika

Individu yang berintegriti akan tetap mematuhi peraturan, kerana takrif integriti memerlukan individu bertingkah laku berdasarkan prinsip moral dan nilai etika, tanpa mengambil kira, sama ada dilihat ataupun tidak. Justeru, untuk menjadi manusia yang berintegriti memerlukan seseorang individu itu menjadi manusia bermoral dan beretika dalam semua aspek kehidupan.

Dalam aspek tadbir urus dan pentadbiran organisasi misalnya, keruntuhan integriti menyebabkan berlaku pelbagai kepincangan seperti peningkatan amalan rasuah dan pecah amanah. Tidak kira, sama ada dalam organisasi awam mahupun swasta, pemegang jawatan ataupun pekerja yang tidak memiliki integriti diri yang tinggi akan sentiasa mencari peluang melakukan penyelewengan demi kepentingan peribadi, tanpa memikirkan implikasi terhadap imej organisasi dan negara.

Ketirisan maklumat organisasi dan aktiviti yang meningkatkan indeks persepsi antarabangsa terhadap kemampuan negara membendung amalan korupsi adalah contoh implikasi negatif yang didorong oleh perbuatan warga kerja tidak berintegriti.

Dalam aspek pendidikan pula, tindakan individu tidak berintegriti boleh mencemar kesucian bidang yang sangat penting untuk membangunkan modal insan negara. Perbuatan seperti melakukan plagiat, memanipulasi kelayakan akademik dan sebagainya menjejaskan reputasi si pelaku serta mengakibatkan kualiti sistem pendidikan negara pada semua peringkat dipertikaikan.

Natijahnya, persekitaran pendidikan yang seharusnya menjadi lapangan untuk menerapkan nilai moral dan etika yang tinggi dalam diri generasi muda negara, hari ini turut dinodai oleh perbuatan individu tidak berintegriti.

Dalam konteks kepemimpinan pula, integriti menjadi teras yang sangat penting untuk dijadikan asas penilaian kepada keberkesanan barisan kepemimpinan semasa dalam apa jua situasi. Seseorang pemimpin yang berintegriti bukan sahaja perlu 'bersih', tetapi juga perlu kelihatan 'bersih' pada sebilang masa. Dalam sejarah peradaban manusia, terlalu banyak contoh menunjukkan kejatuhan pemimpin yang tidak berintegriti atau yang terpalit dengan isu dan skandal yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.

Integriti pemimpin

Tuntasnya, integriti pemimpin yang boleh dipersoal akan menyebabkan integriti organisasi atau kumpulan manusia yang dipimpinnya turut dipertikaikan. Pada masa sama, dilema dihadapi pengikut adalah sejauh mana perlunya mereka untuk terus taat dan setia kepada pemimpin yang memiliki integriti diri yang meragukan.

Kesimpulannya, membentuk diri untuk menjadi seorang individu berintegriti bukan mudah. Namun, setiap individu yang inginkan kelangsungan kehidupan cemerlang pada masa hadapan perlu berusaha sedaya mungkin untuk memperkukuh integriti diri sendiri dan individu di bawah tanggungjawab masing-masing.

Memetik kata-kata cendekiawan Albert Einstein "integrity without knowledge is weak and useless, and knowledge without integrity is dangerous and dreadful...". Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memperkasa dan membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan bagi memastikan negara kita sentiasa ditunjangi ahli masyarakat madani yang memiliki integriti diri yang tinggi.

327 dibaca
Berita Harian X