Ahad, 30 Oktober 2016 | 7:43pm
KEBAKARAN yang menyebabkan tujuh rumah di Kampung Ansip, Keningau, musnah sepenuhnya. - Foto ihsan Bomba Keningau
KEBAKARAN menyebabkan seorang penduduk lelaki mengalami kecederaan melecur di bahagian badannya dan sudah dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut. - Foto ihsan Bomba Keningau
BOMBA menerima panggilan pada jam 10.58 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.  - Foto ihsan Bomba Keningau

7 rumah musnah kebakaran di Keningau

KENINGAU: Tujuh buah rumah musnah semuanya dalam kebakaran di Kampung Ansip, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, kebakaran berkenaan turut menyebabkan sebahagian dinding sebuah Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di kampung itu, turut mengalami kerosakan.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang penduduk lelaki mengalami kecederaan melecur di bahagian badannya dan sudah dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Mudi Pangiran, berkata bomba menerima panggilan pada jam 10.58 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian. 

"Kebakaran itu membabitkan tujuh buah rumah yang musnah sepenuhnya dengan seorang penduduk kampung melecur di bahagian badan ketika cuba menyelamatkan harta benda di rumahnya.

"Mangsa sudah dihantar ke Hospital Keningau oleh penduduk kampung untuk mendapat rawatan lanjut. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya di sini hari ini.

Katanya, kebakaran terkawal pada jam 12.05 tengah hari dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.05 petang.

Operasi itu membabitkan dua jentera dengan 10 anggota termasuk dua pegawai.

Berita Harian X