Ahad, 30 Oktober 2016 | 4:51pm

Barangan tiruan pelbagai jenama terkenal dirampas


ANGGOTA KPDNKK merampas barangan tiruan menggunakan pelbagai jenama terkenal di sekitar Lembah Klang, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,500 pasang kasut sukan dan selipar selain lebih 200 baju T, 300 topi, dompet dan beg tiruan menggunakan pelbagai jenama terkenal dirampas dalam serbuan ke atas empat premis perniagaan di sekitar Lembah Klang, hari ini.

Barangan tiruan menggunakan jenama Nike, Adidas, Gucci dan Louis Vuitton bernilai lebih RM70,000 itu disita Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin, berkata serbuan ke atas premis perniagaan itu dibuat hasil risikan terhadap aduan daripada pemilik cap dagang.

"Premis perniagaan itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana terbabit dengan pembekalan barangan menggunakan perihal dagangan palsu, iaitu aktiviti secara haram atau tanpa kebenaran daripada pemilik cap dagang.

"Jika sesuatu perbadanan disabit kesalahan mengikut Seksyen 8, pihak berkenaan boleh didenda tidak lebih RM15,000 untuk setiap barang bagi kesalahan pertama atau RM30,000 untuk setiap barang bagi kesalahan kedua dan seterusnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Individu boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda RM20,000 bagi setiap barang atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Mohd Roslan berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan pemilik cap dagang dan lain-lain agensi dalam usaha melindungi hak pengguna serta industri.

Berita Harian X