Ahad, 30 Oktober 2016 | 4:01pm

Pendaki wanita cedera diselamatkan


ANGGOTA bomba merawat kaki mangsa yang terjatuh ketika mendaki Gunung Irau di Cameron Highlands, petang semalam.

CAMERON HIGHLANDS: Seorang pendaki wanita cedera di lutut akibat terjatuh ketika mendaki Gunung Irau di sini petang semalam, sebelum dibawa keluar awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.26 petang sebelum menghantar sepasukan anggota melakukan operasi menyelamat bermula jam 7.41 malam tadi.

"Kita menerima laporan seorang pendaki wanita berusia 20-an cedera di lutut akibat terjatuh ketika mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 6 petang semalam.

"Difahamkan, mangsa terjatuh di tebing berdekatan 'checkpoint' Bonsai sebelum rakannya menghubungi bomba untuk bantuan," katanya di sini, hari ini.

Muhamad Haziq berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian memberi rawatan awal sebelum membawa turun mangsa awal pagi tadi.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata di sini untuk menerima rawatan dan operasi tamat sepenuhnya jam 9 pagi tadi.

Berita Harian X