Ahad, 30 Oktober 2016 | 9:25am

15 minit pertama kurang matang - Klopp


PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto AFP

LONDON: Jurgen Klopp mengkritik aksi pemain Liverpool untuk tempoh 15 minit pertama perlawanan yang disifatkannya seperti keanak-anakan sebelum mengatasi Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Selepas kemenangan 4-2 di Selhurst Park itu yang menyaksikan The Reds berkongsi mata sebagai pendahulu liga bersama Manchester City dan Arsenal, Klopp mendedahkan sifat sempurnanya kembali membetulkan situasi sekali gus mengubah rentak permainan anak buahnya.

"Untuk tempoh 15 minit pertama, saya tidak terlalu gembira. Ia dilihat seperti permainan bola sepak keanak-anakan dan tiada hala tuju.

"Namun, selepas itu kami menjaringkan gol dan kami mula bermain bola sepak. Saya tidak pasti sama ada ini adalah lebih baik atau sebaliknya.

"Untuk tempoh setengah jam pertama kami mencipta peluang tapi gagal menjaringkan gol," kata Klopp yang menyaksikan Emre Can, Dejan Lovren, Joel Matip dan Roberto Firmino masing-masing meledak satu gol buat pasukan itu.

Dalam perlawanan itu, aksi Philipp Coutinho mencuri tumpuan apabila dia menjadi penggerak utama Liverpool dalam mencipta peluang menjaringkan gol dan mendapat pujian daripada Klopp.

"Dia seorang pemain bola sepak yang baik. Dia kini berusia 24 tahun dan hasil kerjanya cukup cemerlang. Dia pemain yang baik dan itu sudah memadai untuk saya," katanya. - Reuters

Berita Harian X