Ahad, 30 Oktober 2016 | 12:06am

Kilang terbiar Setapak jadi 'Pelabuhan Hong Kong'

LUARANNYA kelihatan seperti sebuah gudang kosong yang tidak menawarkan apa-apa keistimewaan untuk diteroka.

Persepsi yang sama turut membelenggu penulis apabila dipelawa meninjau sebuah kilang lama di Setapak, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi untuk penggambaran filem terbaharu terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB), Pulang.

Ketika hati masih tertanya-tanya, tiba-tiba diri seperti dibawa menelusuri terowong masa yang mengimbau suasana di sebuah pasar klasik. Barangan basah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar melatari persekitaran di pasar yang sibuk dengan gelagat manusia berurusan.

Pada satu sudut lain, langkah disambut pula dengan binaan mirip pelabuhan lama di Hong Kong yang didirikan dengan begitu teliti. Segala-galanya diterjemahkan dengan begitu kemas, membuatkan diri leka melihat setiap susun atur persekitaran yang mengimbau memori.

Mengambil latar persekitaran era 1940-an dan 1950-an, pembikinan filem epik, Pulang arahan Kabir Bhatia menuntut tenaga produksi melakukan penyelidikan mendalam untuk memastikan naskhah yang dihasilkan tepat menggambarkan suasana pada dekad itu.


FILEM ini mengambil latar persekitaran era 1940-an dan 1950-an. - Foto Khairul Azhar Ahmad

SUASANA seperti di sebuah pasar klasik yang sebenar. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Tidak dinafikan, perkembangan teknologi yang menguasai industri perfileman memudahkan produksi dalam merealisasikan impian itu, namun ia bukan jaminan kepada penghasilan karya yang realistik. Aspek keaslian bagaimanapun, menjadi isu utama yang ditekankan Pereka Produksi, Tunku Mohd Taufek Tunku Mansur atau lebih dikenali sebagai Tommy ketika menghasilkan rekaan set Pulang.

"Kami mengambil masa yang lama melakukan kajian dengan membuat rujukan berdasarkan gambar dan temu bual bersama mereka yang berpengalaman menjadi kelasi pada era itu. Ia penting kerana kami ingin mendapatkan gambaran sebenar mengenai persekitaran dan suasana di pelabuhan Hong Kong pada masa itu.

"Meskipun latar Pulang lebih banyak berkisar kepada peristiwa sekitar 2010, namun turut diselitkan paparan babak yang mengimbau era silam menerusi watak utamanya, Othman iaitu kelasi kapal kargo British lakonan Remy Ishak.

"Untuk memastikan suasana sebenar pada era itu, kami membangunkan pelabuhan, kapal dan perkampungan nelayan di Penarik, Terengganu sebelum penggambaran diteruskan di Kuala Lumpur. Hanya 10 hingga 20 peratus penggunaan CGI dimanfaatkan bagi menghidupkan lagi gambaran imej," katanya.

Tommy berkata, kira-kira 30 tenaga mahir digunakan bagi membangunkan prop seperti bandar pelabuhan, kapal dagang, perkampungan nelayan dan kediaman yang digambarkan seperti di Liverpool, England.


ANTARA tenaga kerja profesional terbabit dalam pembikinan set untuk filem Pulang.

PEMBIKINAN Pulang menjadi platform untuk buktikan penggiat industri perfileman Melayu turut mampu menghasilkan produksi sehebat Hollywood. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Menariknya, sebuah kapal besar turut dibina di perkarangan kilang dan lebih membanggakan, keseluruhan set filem itu dibangunkan menggunakan 100 peratus tenaga mahir dan seni kreatif tempatan.

"Proses lakaran dan reka bentuk model dimulakan sejak Mei lalu selepas mendapat gambaran sebenar mengenai lokasi persekitaran. Filem seperti The Adventures of Tintin arahan Steven Spielberg dan Titanic menjadi rujukan kami ketika menghasilkan set.

"Pembikinan Pulang menjadi platform untuk kita buktikan kepada dunia penggiat industri perfileman Melayu juga mampu menghasilkan produksi sehebat Hollywood tetapi menggunakan sepenuhnya tenaga kerja tempatan," katanya.

Tommy berkata, setiap material yang diguna pakai bagi membangunkan prop dibeli daripada penjual barangan lusuh dan terbuang bagi menjimatkan kos.

Katanya, tingkap kayu dan perabot lama dibeli daripada penjual barangan terpakai, manakala reka bentuk setta susun atur kediaman, selain suasana dalam kapal seperti dek, dapur, bilik tidur kru dan perincian lain pula dihasilkan menggunakan barangan lama dan lusuh.


BINAAN mirip pelabuhan lama di Hong Kong yang didirikan dengan begitu teliti. - Foto Khairul Azhar Ahmad

"Kita mahu penonton menikmati era itu menerusi penceritaannya yang sarat emosi dan drama. Bukan mudah untuk mengubah sesuatu set mengikut babak yang dikehendaki pengarah. Pernah beberapa kali set terpaksa diubah untuk memenuhi kehendak pengarah.

"Saya bertuah dipertemukan dengan tenaga kerja yang profesional. Mereka langsung tidak merungut, malah melakukannya dengan hati yang terbuka kerana hasil kerja mereka dihargai. Babak paling mencabar membabitkan insiden kapal karam yang memerlukan kru memasukkan air.

"Situasi getir ketika lantai kapal terbelah dan detik cemas anak kapal bertarung nyawa menguji kreativiti kami untuk menghidupkannya," katanya.

Menyedari banyak cabaran yang perlu dihadapi terutama kos pembikinan dan perubahan cuaca yang sedikit menghalang, namun pasukannya komited memberikan yang terbaik demi menghidupkan cerita mengenai Othman, seorang kelasi kapal yang menjelajah ke beberapa negara demi meraih cinta kekasihnya.


TEKNIK layar hijau dimanfaatkan bagi menghidupkan lagi gambaran imej. - Foto Khairul Azhar Ahmad

"Kami menggunakan layar hijau untuk menyuntik elemen CGI bagi menggambarkan suasana di pelabuhan. Kami mula memasuki kilang ini pada 6 September lalu untuk membangunkan kawasan pelabuhan selepas sebulan menjalani penggambaran di perkampungan nelayan di Terengganu.

"Kesungguhan tenaga produksi jelas tergambar apabila mereka berusaha untuk merealisasikan segala keperluan dengan sempurna. Mereka juga sanggup bekerja lebih lapan jam sehari untuk memastikan set yang dibina memenuhi keperluan penggambaran.

"Di Terengganu contohnya, enam tukang kayu antara lebih 30 tenaga yang terbabit dalam proses membangunkan perkampungan nelayan. Jumlah tenaga kerja ditambah ketika penggambaran diteruskan di Kuala Lumpur kerana lebih banyak set perlu dibangunkan," katanya.

Pengalaman luas dalam rekaan set filem antaranya Kelip Kelip; Dari Jemapoh ke Manchester; Anna and The King; Spinning Gasing; Jiwa Taiko; Legenda Budak Setan 2 dan 3, Hanyut serta Lelaki Harapan Dunia, turut membantu Tommy untuk memberikan sentuhan terbaik dalam Pulang.

14 dibaca
KESELURUHAN set filem itu dibangunkan menggunakan 100 peratus tenaga mahir dan seni kreatif tempatan. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Berita Harian X