Ahad, 30 Oktober 2016 | 12:02am

Razif jaguh ultra maraton Malaysia

PUTRAJAYA: Kesibukan sebagai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bukan penghalang kepada Razif Yahya, untuk aktif dalam sukan lasak ultra maraton atau larian jarak jauh melebihi 100 kilometer (km).

Razif, 44, mula berjinak-jinak dan jatuh cinta dengan acara itu selepas berjaya menamatkan larian maraton sejauh lebih 42km di Standard Chartered Marathon Singapore (SCMS) pada 2010, walaupun pertama kali menyertainya.

Selepas kejayaan itu, Razif bertekad mencari acara larian yang membolehkan dirinya berlari lebih jauh dan mencabar.

Berikutan itu dia menyertai Sundown Ultra Marathon 2011 yang mengkehendaki peserta berlari sejauh 100km di jalan raya sepanjang malam.

Acara berkenaan yang bermula pada jam 6 petang mensyaratkan peserta menamatkan larian 100km dalam tempoh masa 18 jam.


RAZIF Yahya ketika menamatkan perlumbaan Tor Des Geants Endurance Trail sejauh 330KM. - Foto Faris Iswadi Ismail

RAZIF Yahya ketika menyertai perlumbaan Tor Des Geants Endurance Trail sejauh 330KM. - Foto Faris Iswadi Ismail

Walaupun pertama kali mencubanya ternyata Razif tiada masalah untuk menghabiskan larian pertamanya itu dalam masa 16 jam 16 minit dan sehingga kini beliau sudah menyertai lebih 45 kejohanan maraton dan ultra maraton sama ada dianjurkan di Malaysia, negara Asia Tenggara lain mahu pun di Eropah.

Malah, Razif baharu saja pulang daripada menyertai kejohanan ultra maraton antarabangsa Tor des Geants (TDG) sejauh 330km bersama lebih 765 peserta lain dari seluruh dunia di Itali, lebih sebulan lalu.

Justeru, dia berpuas hati dan bersyukur kerana berjaya sampai ke garisan penamat TDG kerana daripada 765 peserta yang menyertainya, hanya 446 peserta saja yang berjaya menamatkan larian ultra maraton paling sukar di dunia itu.

Tak boleh jual beli

Lebih manis, dia mengharumkan nama negara sebagai wakil tunggal Malaysia yang berjaya menamatkan larian ultra maraton ini daripada tiga peserta Malaysia yang menyertainya.


RAZIF Yahya ketika menamatkan perlumbaan Tor Des Geants Endurance Trail sejauh 330KM. - Foto Faris Iswadi Ismail

MAKLUMAT penyertaan dan peta, Razif Yahya di Majlis Penyampaian hadiah selepas menyertai perlumbaan Tor Des Geants Endurance Trail sejauh 330KM. - Foto Faris Iswadi Ismail

"Saya amat gembira kerana dapat menamatkan larian jarak paling jauh setakat ini iaitu sejauh 330km walaupun masa yang dicatat saya lebih lama jika dibanding juara keseluruhan (Oliviero Bosatelli, Itali) yang berbuat demikian dalam masa 75 jam 10 minit.

"Apa yang penting adalah pengalaman berharga dan cabaran terpaksa dihadapi sepanjang kejohanan ini memang tidak boleh dijual beli atau didapati di tempat lain," katanya turut berlari mewakili Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) untuk berkempen dan menyelamatkan Hutan Hujan Tropika.

Razif berkata, antara pengalaman berharga diharungi sepanjang enam hari berkenaan termasuk mendaki dan menuruni lebih dari 25 gunung dan bukit, mengharungi cuaca panas, hujan batu, suhu sejuk bawah paras beku dan melalui permukaan tanah bersalji.

"Saya juga tercabar dan kagum apabila mendapati pemenang tempat pertama tahun lalu (TDG 2015) adalah seorang lelaki berusia 51 tahun (Patrick Bohard, Perancis).

"Oleh itu, saya bertekad terus berlatih bagi meningkatkan ketahanan fizikal dan mental untuk menyertai kejohanan ultra maraton di peringkat antarabangsa termasuk di Gunung Bromo, Indonesia, Disember depan," katanya ketika menjalani latihan berlari dan mendaki bukit di Laman Duta di sini, baru-baru ini.


ATLET Ultra Marathon, Razif Yahya berlatih di Presint 15, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

ATLET Ultra Marathon, Razif Yahya berlatih di Presint 15, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Razif juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan petua jika seseorang individu mahu menyertai acara sukan lasak terutama larian jarak jauh melebihi 100km.

Katanya, perkara paling penting jika seseorang menyertai acara ultra maraton ialah wajib mempunyai kesungguhan dan motivasi tinggi serta memerlukan pengorbanan dari segi masa latihan dan wang.

Malah, Razif menegaskan dia sendiri biasanya meluangkan masa enam hari seminggu untuk berlari sejauh 10 hingga 20km sehari atau keseluruhan lebih 100km seminggu bagi meningkat stamina terutama menjelang kejohanan tertentu disertainya.

Bagi menjimatkan kos untuk menyertai kejohanan antarabangsa di luar negara Razif juga sering membuat perancangan dan membeli tiket lebih enam bulan lebih awal dari tarikh sebenar perlumbaan terbabit.

"Kita juga perlu membeli peralatan seperti lampu suluh, kasut dan pakaian bersesuaian serta pelbagai jenis makanan tambahan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlari di waktu malam serta bermalam di atas bukit atau dalam hutan," katanya.


PERALATAN Razif Yahya ketika menyertai perlumbaan Tor Des Geants Endurance Trail sejauh 330KM. - Foto Faris Iswadi Ismail

Peralatan penting ketika menyertai acara ultra maraton:
1. Kasut sukan
2. Beg
3. Trekking Poles
4. Sarung tangan kalis air
5. Crampon
6. Lampu (Headlight)
7. Selimut
8. Jaket Hujan


MAKLUMATpenyertaan dan peta, Razif Yahya di Majlis Penyampaian hadiah selepas menyertai perlumbaan Tor Des Geants Endurance Trail sejauh 330KM. - Foto Faris Iswadi Ismail

INFO: Kejohanan ultra maraton pernah disertainya sejak 2010

2016 - Tor des Geants (Italy), 330km dan Northburn 100 (New Zealand) - 100 batu (160km)

2015 - The North Face 100 (TNF100) di Thailand (100km) dan TNF100 Australia (100km)

2014 - Ultra-Trail Mt. Fuji (UTMF) di Jepun (169km) dan TNF100 Thailand (100km)

2013 - Sundown Ultramarathon (100km); TNF Filipina (100km) dan Gunung Nuang 12 Hours Endurance Race (50km)

2012 - TNF100 Singapura (100km); Craze Ultramarathon di Singapore (160km); TNF100 Thailand

2011 - Sundown Ultramarathon di Singapura (100km)


RAZIF Yahya ketika menyertai perlumbaan Tor Des Geants Endurance Trail sejauh 330KM. - Foto Faris Iswadi Ismail

Fakta: Penyertaan Razif di Tor des Geants (TDG)
Catatan masa: 6 hari 6 malam 6 jam atau 150 jam
Jarak sebenar: 380km
16 puncak gunung perlu didaki
37 pusat pengagihan bekalan makanan dan minuman
40 pusat pemeriksaan
33 daerah perlu dilalui
30 kawasan tasik dilalui.

PERALATAN wajib Razif Yahya ketika menyertai perlumbaan Tor Des Geants Endurance Trail sejauh 330KM. - Foto Faris Iswadi Ismail
RAZIF Yahya di Majlis Penyampaian hadiah selepas menyertai perlumbaan Tor Des Geants Endurance Trail sejauh 330KM. - Foto Faris Iswadi Ismail
RAZIF Yahya (kiri) di Majlis Penyampaian hadiah selepas menyertai perlumbaan Tor Des Geants Endurance Trail sejauh 330KM. - Foto Faris Iswadi Ismail
RAZIF Yahya ketika menamatkan perlumbaan Tor Des Geants Endurance Trail sejauh 330KM. - Foto Faris Iswadi Ismail
Berita Harian X