Sabtu, 29 Oktober 2016 | 12:01am

Chalet RM2.50 seorang di Ulu Bendul

KUALA PILAH: Sukar dipercayai, tetapi chalet untuk empat orang lengkap dengan tandas dan dapur di Hutan Lipur Ulu Bendul di sini, hanya berharga RM10 bagi penginapan dua hari satu malam.

Lebih menarik, chalet dua bilik itu mampu memuatkan antara lapan hingga 10 orang, serta mempunyai ruang makan dan ruang tamu, selain balkoni menghadap sungai di kawasan rekreasi popular itu, hanya berharga RM30.

Sebuah banglo cantik bersebelahan kolam di kawasan berkenaan yang dinamakan Anjung Rimba, pula mempunyai lapan bilik dengan kapasiti 40 tetamu, disewakan pada kadar RM110 sahaja.

Pegawai Hutan Daerah Negeri Sembilan Timur, Mohd Rizal Razali, berkata harga sedemikian yang sukar diperoleh di tempat lain menyebabkan penginapan itu menjadi rebutan, terutama pada musim cuti sekolah.

"Kemudahan disediakan Jabatan Perhutanan negeri ini setanding chalet swasta, namun dapat disewakan pada harga murah kerana kita adalah jabatan kerajaan dan tidak mengejar keuntungan.


CHALET di Hutan Lipur Ulu Bendul. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

HIASAN dalaman chalet di Hutan Lipur Ulu Bendul. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

"Harga rendah ini memberi peluang kepada banyak pihak terutama sekolah, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan aktiviti di sini, dengan kos yang munasabah," katanya kepada BH.

Untuk menambah tarikan, Jabatan Perhutanan negeri menyediakan kawasan 'Halangan Komando' yang membolehkan pengunjung atau peserta program menjalankan aktiviti merentas halangan secara sistematik.

Beliau berkata, Hutan Lipur Ulu Bendul menjadi tarikan disebabkan mempunyai sungai yang sesuai untuk aktiviti riadah pelbagai peringkat umur, selain dilengkapi kolam mandi yang sesuai untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.

Kedudukan di pinggir Hutan Simpan Angsi, namun bersebelahan jalan utama iaitu di Kilometer 20 Jalan Seremban-Kuala Pilah, 18 kilometer dari bandar Seremban, menjadikannya unik kerana boleh diakses semua jenis kenderaan.

Selain pengunjung biasa, kawasan itu menjadi tumpuan ramai pendaki termasuk dari Selangor dan Kuala Lumpur yang memulakan pendakian Gunung Angsi setinggi 825 meter dari aras laut di situ, setiap hujung minggu.


ANTARA chalet yang terdapat di Hutan Lipur Ulu Bendul. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

PENGUNJUNG beriadah di sungai yang terdapat di Hutan Lipur Ulu Bendul. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Bagaimanapun, Mohd Rizal, menasihat pengunjung supaya bekerjasama menjaga kemudahan bagi mengelakkan Jabatan Perhutanan negeri menanggung kos penyelenggaraan tinggi, yang memungkinkan harga penginapan itu tidak dapat dikekalkan.

INFO:
# Untuk tempahan, pengunjung boleh menghubungi Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Timur di Kuala Pilah di talian 06-4811036.

Tarikan lain
- Gunung Angsi setinggi 825 meter
- Taman Ular Sawa
- Taman Herba

FAKTA: Harga sewaan
RM10 - Chalet berkembar
RM30 - Chalet 'Riverview'
RM110 - Banglo Anjung Rimba
RM15 - tapak perkhemahan.

728 dibaca
HIASAN dalaman chalet di Hutan Lipur Ulu Bendul. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
HIASAN dalaman chalet di Hutan Lipur Ulu Bendul. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
KAWASAN 'Halangan Komando' yang membolehkan pengunjung atau peserta program menjalankan aktiviti merentas halangan secara sistematik. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
KAWASAN 'Halangan Komando' yang membolehkan pengunjung atau peserta program menjalankan aktiviti merentas halangan secara sistematik. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
Berita Harian X