Jumaat, 28 Oktober 2016 | 12:06am
Pulut Durian Singgah Yop!!! penuhi selera

Pulut Durian Singgah Yop!!! penuhi selera

Ipoh: Sedikit kreativiti dilakukan seorang penjual durian di tepi jalan, membolehkan pendapatan hariannya berlipat ganda setiap hari.

Selepas pendapatan diperolehi terhad antara RM100 hingga RM150 sehari dengan menjual durian di tepi jalan, Zainun Ibrahim, 45, menambah baik perniagaannya dengan membuka perniagaan pulut durian.

Kemudian beliau menambah menu lain seperti cendol durian, nangka dan pisang, pulut mangga dan ayam, bubur jagung, pengat pisang dan nasi ayam berempah.

Kini pendapatan kasarnya sehari boleh mencecah RM1,500 dan meningkat hingga RM4,000 pada hujung minggu.

Restoran Pulut Durian Singgah Yop!!! di Meru Raya itu kini menjadi buah mulut orang ramai dan Zainun mengakui "tidak menang tangan" pada hujung minggu atau cuti umum.

Katanya, sebelum membuka restoran berkenaan beliau adalah peniaga perabot terpakai di Batang Kali, selain turut melakukan beberapa kerja sambilan termasuk sebagai pengangkut sampah, namun apabila berhijrah ke sini tiga tahun lalu, beliau mula menjual buah durian di tepi jalan.

PULUT durian di Restoran Pulut Durian Singgah Yop!!! - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

RESTORAN Pulut Durian Singgah Yop!!! di Meru Raya, Ipoh. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

"Pada mulanya saya hanya menjual buah durian, namun selepas beberapa bulan berniaga, saya berpandangan menyediakan hidangan durian bersama santan dan pulut serta beberapa menu sampingan lain lebih menjanjikan pulangan.

"Selain dibantu dua isteri dan tiga anak yang bekerja sepenuh masa, saya juga mengambil tiga pekerja sambilan terutama pada hujung minggu kerana kami tidak "menang tangan" melayan pelanggan," katanya kepada BH.

Zainun berkata, jualannya tidak merudum walaupun ketika musim buah durian gugur kerana pelanggan lebih gemar membeli berbanding menyediakannya sendiri pulut durian.

"Ketika luar musim pula peminat menu itu termasuk wanita mengandung yang mengidam, sentiasa mencarinya," katanya.

ZAINUN menyediakan pulut mangga. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

CENDOL durian di Restoran Pulut Durian Singgah Yop!!! - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Bapa kepada 13 anak itu berkata, beliau menggunakan durian kampung atau kahwin berdasarkan bekalan yang ada dengan harga jualan RM7 bagi sepinggan pulut durian.

"Bagi durian kahwin, kita terpaksa mengurangkan sedikit bilangan ulas atau kuantiti yang disajikan bersama pulut dan santan kerana harga durian itu lebih mahal berbanding durian kampung yang boleh dibeli secara pukal dengan harga lebih murah, terutama ketika musimnya.

"Di restoran ini, kami tidak mengenakan bayaran tambahan jika pelanggan hanya mahu menambah pulut dan santan, manakala hidangan kepada orang kurang upaya (OKU) pula kami sediakan percuma.

PELANGGAN menikmati pulut durian dan cendol durian di Restoran Pulut Durian Singgah Yop!!! - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Zainun berkata, beliau mendapatkan bekalan durian dari merata tempat dan hanya menggunakan durian dari Thailand sebagai pilihan terakhir.

"Dalam setahun, biasanya hanya dalam tempoh sebulan sahaja bekalan durian tiada, jadi saya terpaksa menyimpan bekalan durian dalam kuantiti yang banyak dalam peti sejuk bagi memastikan bekalan durian sentiasa ada untuk restoran.

Restorannya turut dikunjungi selebriti yang datang ke Ipoh terutama ketika menjalani sesi penggambaran selain ada menerima tempahan pelanggan berkumpulan yang datang sehingga 50 orang serentak.

ORANG ramai yang berkunjung di Restoran Pulut Durian Singgah Yop!!! - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
PEMILIK Restoran Pulut Durian Singgah Yop!!!, Zainun Ibrahim. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X