Khamis, 27 Oktober 2016 | 7:37pm

Forensik Bomba bentang punca kebakaran HSA 2 minggu lagi


PENOLONG Ketua Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Edwin Galan Teruki (tengah) memberi taklimat kepada anggota Unit Forensik selepas selesai siasatan di bangunan Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menolak dakwaan punca kebakaran di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) disebabkan oleh penggunaan pengecas telefon bimbit atau tabung gas oksigen.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM, Edwin Galan Teruki, berkata pihaknya akan membentangkan punca sebenar yang berlaku di HSA kepada kerajaan dalam tempoh dua minggu, memandangkan siasatan baru selesai di lokasi kejadian.

"Unit Forensik Kebakaran membuat siasatan kes mengenai punca kebakaran ini dan secara fizikalnya kita sudah selesai membuat siasatan, kita sudah memanggil sembilan saksi kakitangan hospital yang sudah direkodkan bagi menyokong laporan dan siasatan kita tidak hanya menentukan punca tetapi juga menentukan keseluruhan operasi termasuk daripada segi keselamatan kebakaran.

"Dalam tempoh dua minggu ini, kita akan mengemukakan laporan siasatan kepada kerajaan, selain beberapa sample akan dianalisis di Bilik Analisis Fizikal, di Ibu Pejabat JBPM Johor," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Edwin berkata, siasatan awal punca kejadian hanya akan diketahui selepas proses siasatan dijalankan, selain pihaknya menamatkan sepenuhnya operasi yang berakhir jam 5 petang itu, membabitkan seramai lapan anggota dari Unit Forensik JBPM Putrajaya dan Johor.

Berita Harian X