Khamis, 27 Oktober 2016 | 4:11pm

Dayana Roza elak dilabel suka tukar kekasih


DAYANA Roza mengambil pendekatan untuk tidak lagi menggembar-gemburkan cerita peribadi. - Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Dalam usahanya mengelakkan diri daripada digelar wanita yang suka bertukar-tukar kekasih, Dayana Roza mengambil pendekatan untuk tidak lagi menggembar-gemburkan cerita peribadi.

Menurut pelakon yang mula digilap bakatnya menerusi pertandingan Anak Wayang itu, beliau banyak belajar daripada pengalaman lalu, terutama dalam perkara berkaitan perasaan dan soal hati.

Dayana berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekerapan dirinya berkongsi gambar beliau bersama seorang pemuda di laman sosial Instagramnya, ketika ini.

"Cukuplah jika saya katakan, saya sudah pun mengenali seseorang yang istimewa. Bagaimanapun, rasanya tidak perlulah untuk saya menceritakannya lebih-lebih. Tidak seronok pula nanti apabila orang melihat saya seperti bertukar-tukar pasangan, tetapi hubungan terbabit belum pasti.

"Persoalan sama ada hubungan yang baharu itu serius atau tidak, saya tidak boleh mengulas lanjut. Jika ada ada jodoh antara kami, ia tak ke mana.

Saya tahu bunyinya seperti sangat klise, tetapi itulah hakikatnya," katanya tersenyum seperti mahu menepis daripada terus berbicara mengenai topik itu.

Beliau yang ditemui ketika menjayakan penggambaran telefilem Trauma terbitan JS Pictures di Kuang, Selangor, semalam, bagaimanapun menegaskan pengalaman berdepan kegagalan dalam hubungan lalu tidaklah menjadikannya serik untuk jatuh cinta lagi.


ADAKAH lelaki ini yang sedang bertakhta di hati Dayana Roza?

Sebelum ini, ramai yang tahu Dayana pernah menjalinkan hubungan bersama pemain bola sepak kebangsaan, Muslim Ahmad, tetapi ia terputus tahun lalu.

"Tidak timbul soal serik pun. Cuma, saya mahu menjadi lebih matang dalam hal ini. Biarlah apabila betul-betul hendak berkahwin nanti, barulah saya akan berkongsi kisah yang lebih sahih," kata pemilik nama penuh Nur Dayana Kamsun Baharin ini.

Berhubung kerjaya seninya, lakonan Dayana kini dapat disaksikan menerusi drama 100 episod, Lara Aishah, yang menemui penonton menerusi sebuah saluran berbayar. Selain dirinya, siri yang masih dalam penggambaran itu turut membariskan Fasha Sandha dan Nazim Othman sebagai pelakon.

"Ketika masih lagi menjayakan penggambaran drama itu, sempat juga saya selitkan jadual untuk berlakon dalam telefilem Trauma ini. Saya menerima tawaran daripada JS Pictures ini pun kerana sudah biasa bekerja dengan produksi terbabit, selain dimaklumkan mengenai projek berkenaan sejak sekian lama oleh penerbitnya, Kak Sheila (Rusly).

"Bulan depan, insya-Allah saya akan berlakon pula dalam filem Minah Motor, arahan Ahmad Idham," katanya.

Telefilem Trauma arahan Jinggo akan disiarkan tahun hadapan menerusi TV3 bersempena Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur. Selain Dayana, ia juga dibintangi Saharul Ridzwan, Idris Khan, Raja Afiq, Zara Zya dan Janna Nick.

Berita Harian X