Rabu, 26 Oktober 2016 | 7:34pm

YSB peruntuk lebih RM3 juta setahun bantu orang ramai


AHLI Lembaga Amanah Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Datuk Tunku Nafisah Sultan Badlishah (dua dari kiri) beramah mesra dengan penerima sumbangan sempena perayaan Deepavali yang diadakan di Hotel Bustani. - Foto Amran Hamid

JITRA: Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) memperuntukkan lebih RM3 juta setahun bagi membantu golongan yang memerlukan di negeri ini.

Pengurus Besar, Misbah Abdul Hamid, berkata peruntukkan itu adalah hasil kutipan dana daripada orang ramai termasuk badan korporat menerusi pelbagai program anjuran YSB.

Katanya antara kategori sumbangan itu ialah rawatan dialisis, pendidikan dengan memberi kelas tambahan secara percuma kepada pelajar miskin dan bantuan peralatan seperti mesin jahit kepada wanita dan ibu tunggal yang mahu memulakan perniagaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

"Sejak 20 tahun penubuhan YSB, kami berusaha meningkatkan jumlah bantuan kepada golongan yang memerlukan, malah YSB tidak menghadkan bantuan kepada masyarakat beragama Islam sahaja.

"Sebagai contoh setiap tahun kami memperuntukkan sebanyak RM600,000 untuk memberi sumbangan kepada semua kaum yang memerlukan sebelum perayaan masing-masing, ...mereka akan kami pilih menerusi kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan kepada 66 penerima beragama Hindu di sini, hari ini.

Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Ahli Lembaga Amanah YSB yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan YSB, Datuk Tunku Nafisah Sultan Badlishah.

Setiap penerima dari daerah Kubang Pasu, Pokok Sena dan Kota Setar itu masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM300.

Berita Harian X