Rabu, 26 Oktober 2016 | 4:51pm
PDRM logo

Suri rumah parah ditetak bapa mentua

ALOR SETAR: Seorang suri rumah cedera parah apabila ditetak bapa mentuanya berusia 86 tahun di rumahnya di Taman Selayang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, Mak Lain Ping, 42, cedera di tengkuk, tapak tangan dan pergelangan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Mohd Rozi Jidin, berkata pihaknya menerima maklumat seorang wanita mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta mengenai kejadian berkenaan.

"Kita segera ke hospital terbabit sebelum ke rumah mangsa bagi mengesan suspek kejadian.

"Siasatan awal mendapati tiada perselisihan faham berlaku antara mereka, malah mangsa dan suaminya mengesahkan suspek tidak mengalami masalah mental.

"Susulan kejadian, suspek ditahan dan polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Rozi berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

"Mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan dan polis belum memperoleh keterangan penuh mangsa yang masih trauma," katanya.

48 dibaca
Berita Harian X