Rabu, 26 Oktober 2016 | 9:51am

Bukit Merah Laketown Resort dibuka semula

IPOH: Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) membuka semula taman tema airnya bermula hari ini, selepas ditutup atas arahan Kementerian Kesihatan sejak 28 September lalu berikutan kes jangkitan rotavirus dan gastroentritis akut (AGE).

Pembukaan semula operasi taman tema air berkenaan bersama tarikan terbaharu yang sudah siap dipasang, diumumkan pengurusan BMLR dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, BMLR melakukan usaha pembersihan dan kerja penyelenggaraan taman tema airnya, termasuk mengeringkan semua kolam dan mengisi air baharu serta menambah baik sistem penapisan serta penyelaras pam.

"BMLR sentiasa melaksanakan penyelenggaraan berkala seperti proses pengklorinan air yang dilakukan empat kali sehari manakala bacaan tahap klorin direkodkan.

"Kami juga melakukan pembersihan mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"BMLR mengambil langkah pemulihan dan penambahbaikan taman tema air ini seiring pertambahan pengunjung.

"BMLR ditutup selama 14 hari iaitu dari 13 Jun sehingga 27 Jun bagi tujuan kerja penambahbaikan saluran paip dan sistem penapisan di kawasan taman tema air ini.

"Sepanjang penutupan mulai 28 September lalu, kita melakukan kerja penambahbaikan saluran paip dan sistem penapisan di kawasan taman tema air, selain memasang tarikan baharu iaitu 'The Giant Wet Bubble' (Gelembung Basah Gergasi) sempena pembukaan semula taman tema air BMLR," kata kenyataan itu.

BMLR berkata, penutupan sementara taman tema air itu dilakukan susulan kejadian tujuh kanak-kanak yang diandaikan memiliki simptom rotavirus dan AGE dengan semua mangsa mendapat simptom itu selepas pulang dari BMLR pada 24 September lalu, menyebabkan arahan penutupan sementara dikenakan.

Katanya, BMLR memberi kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Perak untuk menyiasat perkara berkenaan, manakala sampel air diambil di tujuh lokasi dalam taman tema air.

"Ini bagi memastikan BMLR selamat dikunjungi dan bebas daripada wabak.

"Berdasarkan kenyataan media Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada 5 Oktober lalu, keputusan kehadiran rotavirus bagi sampel air yang diambil pada 29 dan 30 September lalu di tujuh lokasi persampelan di BMLR didapati negatif rotavirus," katanya.

54 dibaca
Berita Harian X