Rabu, 26 Oktober 2016 | 8:00am
YAMAHA XV950R Bolt.

Yamaha Bolt ringkas, padu

kamarulzaiditbh.com.my


BOLT - Kesederhanaan dan kejelasan membawa kepada reka bentuk hebat.

INSPIRASI masa lalu, dibina untuk masa hadapan. Mungkin itu boleh dikatakan pada model motosikal klasik sport yang ditunggang uji BH Auto kali ini iaitu Yamaha XV950R Bolt. Penulis lebih senang mengkategorikan ia sebagai sebuah cruiser ataupun retro racer.

Model cruiser berkapasiti 750-900cc sejak sekian lama sebelum ini dikuasai Harley-Davidson Sportster, namun kini jenama seperti Kawasaki, Honda, Triumph, Suzuki dan Yamaha juga mula menonjol dalam kelas model permulaan cruiser ini.

Ketika model Yamaha "retro-racer" yang diimport sepenuhnya (CBU) ini dilancarkan pada tahun lalu, penulis amat tertarik dengan penampilannya yang amat ringkas dan jelas tetapi tampak hebat sebaris dengan model ikonik Harley-Davidson. Justeru apabila dibuka peluang untuk menunggang uji model ini oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, (HLYM) ia adalah suatu yang amat dinantikan.

Sepanjang tempoh lima hari tunggang uji, penulis menggunakan ia untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja bagi menguji sama ada ia praktikal sebagai mesin tunggangan harian. Kesimpulannya, ia amat mudah, selesa dan seronok ditunggang.

Pecutan segera

Enjin 942cc V-twin 60 darjah, penyejukan udara, SOHC ini menghasilkan 52 kuasa kuda pada rpm 5,500 rpm. Kuasanya sudah cukup 'umph' mencelah kenderaan lain ketika mengharungi kesesakan dan bersantai tenang di laluan lurus dengan pecutan selesa 140 kilometer sejam (km/j).

Pecutan Bolt boleh dilakukan dengan segera, dijana tork yang besar pada kelajuan roda yang rendah dan sederhana seperti yang mana penulis perlukan.

Elemen utama yang menarik perhatian penulis, selain daripada mudah dikawal, adalah pemacu tali sawat model ini yang lancar dan senyap, sekali gus malah keseluruhan tunggangan amat tenang.

Suspensi hadapan pada cruiser ini daripada luar nampak tidak begitu menarik, manakala penyerap hentakan gas di belakang pula kelihatan seperti 'nak mencantikkan' sahaja. Namun begitu, penetapan absorber KYB ini amat stabil ketika mengambil selekoh dan tidak bergegar seperti pada sebilangan cruiser jenama lain.

Ketika penulis menguji pada selekoh pendek dan juga panjang, penyerap hentakan pada model ini tidak menghampakan, cuma agak menggusarkan apabila tempat rehat kakinya sering menyentuh jalan raya.

Model ini dilengkapi dengan sistem brek cegah kunci (ABS) yang mantap. Brek hadapan menggunakan kaliper dan piring berkembar, manakala belakang pula dengan brek piston tunggal yang berfungsi dengan baik, malah lebih balik berbanding beberapa model cruiser yang lain.

Tunggangan berbeza

Dari segi membrek, cara tunggangan cruiser agak berlainan khususnya berbanding model sport. Jika pada model sport, berat badan penunggang lebih terbeban pada tayar hadapan, justeru menyebabkan aktiviti membrek lebih pada roda hadapan, crusier pula yang mana pada berat badan penunggang yang menegak lebih terbeban pada tayar belakang, jadi brek belakang kerap digunakan berbanding brek hadapan.

Meskipun, Bolt tidak dilengkapi dengan mod tunggangan seperti pada sebahagian besar model motosikal berkuasa tinggi ketika ini, namun perkara itu membuat penulis lebih menikmati tunggangan secara semula jadi dan ia ternyata menyeronokkan.

Bagi penulis, Bolt adalah segala yang anda perlukan dan tiada yang tidak. Reka bentuk 'old school' atau retro yang diperhebatkan dengan teknologi enjin baru menghasilkan prestasi yang terbaik dalam kelasnya.

Selain itu, ia ditawarkan pada harga yang amat berbaloi iaitu RM52,500 (termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, insuran dan nombor plet). Terkini HLYM juga mengumumkan penawaran varian terbaru barisan model ini iaitu XV950 Café Racer CBU yang dijual pada harga RM55,000 termasuk GST.

INFO: Yamaha XV950R Bolt

Kapasiti: 942cc

Jenis enjin: SOHC; penyejukan udara; pemacu tali sawat; 5 kelajuan

Kuasa: 38kW @ 5500rpm

Tork: 77Nm @ 3000rpm

Kapasiti petrol: 12 liter

Suspensi hadapan: KYB 41mm fork teleskopik

Suspensi belakang: absober berkembar KYB

Berat kering: 247kg

Tinggi tempat duduk: 690mm

Harga: RM52,500 (Bolt); RM55,000 (Cafe Racer)

68 dibaca
Berita Harian X