Selasa, 25 Oktober 2016 | 4:12pm

Pesalah buli turut jalani program pengisian disiplin


TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Profesional Perguruan) Datuk Dr Amin Senin (dua dari kiri) merasmikan program dengan memukul gong sambil disaksikan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari (kiri) dan Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu, Siti Norkiah Idris (kanan) pada majlis Perasmian Majlis Hari Terbuka 2016 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun. STR/ Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Masyarakat perlu jelas cadangan penggantungan pelajar yang terbabit dalam kes buli bukan berbentuk hukuman semata-mata, sebaliknya akan disertai pengisian sebagai langkah lebih serius untuk mendisiplinkan mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Profesional Perguruan), Datuk Dr Amin Senin, berkata cadangan dikemukakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini itu disalah erti segelintir pihak.

"Hukuman ini (penggantungan) tidak semestinya selama setahun, tetapi ia mengikut tempoh tertentu, selain turut mempunyai pengisian. Sebagai contoh, seseorang pelajar itu akan ditempatkan di Jabatan Bomba dan Penyelamat selama tempoh tiga minggu untuk mendisiplinkannya.

"Pihak kementerian kini sedang mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan idea bagaimana untuk merangka pengisian berkenaan sepanjang tempoh penggantungan pesalah buli itu," katanya.

Terdahulu, Amin mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof merasmikan Hari Terbuka 2016 Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka, Jalan Durian Daun, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari dan Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, Siti Norkiah Idris.

BH pada 17 Oktober lalu melaporkan, Kementerian Pendidikan mencadangkan pelajar terbabit kegiatan buli dan dikategorikan sebagai serius, dikenakan hukuman gantung persekolahan selama tempoh setahun.

Mahdzir dilaporkan berkata, cadangan penggantungan itu bertujuan membendung kegiatan buli di sekolah yang disifatkan amat serius sejak kebelakangan ini, terutama membabitkan pelajar senior dan junior.

Berita Harian X