Selasa, 25 Oktober 2016 | 7:50am

Griezmann dahului Messi untuk Anugerah La Liga

PENYERANG Atletico Madrid, Antoine Griezmann. - Foto AFP

MADRID: Penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann dinamakan sebagai pemain terbaik La Liga bagi musim 2015/16 semalam, mendahului dua bintang seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Jurulatih Atletico, Diego Simeone juga memperoleh anugerah jurulatih terbaik sementara penyerang Barcelona, Luis Suarez dari Uruguay dinamakan sebagai pemain terbaik bukan dari Kesatuan Eropah (EU).

Bagaimanapun, penyerang Barca, Messi dari Argentina diiktiraf sebagai penyerang terbaik dalam majlis yang diadakan di Valencia.

Atletico mendominasi anugerah itu apabila Jan Oblak pula menerima anugerah penjaga gol terbaik, Diego Godin sebagai pertahanan terbaik dan pemain dari Perancis, Griezmann juga menerima anugerah pilihan peminat.

Real Madrid bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong apabila Luka Modric dinamakan sebagai pemain tengah terbaik. - AFP

Berita Harian X