Sabtu, 29 November 2014 | 6:50pm

Hoki: KLHC tagih bantuan besar Sapura atasi THT


PEMAIN KLHC cuba mengasak pemain Terengganu (THT) (kanan) pada aksi LHM di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, semalam. - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA LUMPUR: Hanya 'satu keajaiban' mampu membantu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mempertahankan mahkota kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM), musim ini.

Jaguh dari Lembah Klang itu akan menentang UniKL, petang esok buat melengkapkan jadual liga tetapi gambaran makin jelas bahawa Pasukan Hoki Terengganu (THT) makin hampir untuk ditabal juara baharu kebangsaan.

Hakikat itu diakui ketua jurulatih KLHC, Muhammad Dharmaraj Abdullah yang beranggapan kelab dari Terengganu memiliki kelebihan besar ketika ini untuk menafikan impian mereka.

KLHC mengundang masalah selepas dibelasah THT 5-1, semalam dan kini lawan mereka itu ada kelebihan sembilan gol sebagai modal selesa untuk muncul juara buat julung kali.

"Kami hanya dapat mengharapkan satu keajaiban berlaku esok. Kami akan menumpu fokus untuk mengatasi UniKL dengan jaringan maksimum dan menunggu keputusan perlawanan THT menentang Sapura pada hari yang sama.

"Itu sahaja dapat kami fikirkan ketika ini. Kalau gagal kami terpaksa berpuas hati untuk tempat kedua dan mengalih fokus kepada Piala TNB nanti," kata Dharmaraj, hari ini.

Sementara itu, THT difahamkan tidak mahu terawang-awang atas kejayaan besar ke atas KLHC tempoh hari sebaliknya bertekad memberi fokus mengatasi Sapura, esok.

Kapten pasukan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah berkata mereka tidak boleh memandang remeh keupayaan Sapura kerana lawan mereka itu juga memiliki

kekuatan serta dibarisi enam pemain kebangsaan.

Ketua jurulatih, Sarjit Singh pula dipetik berkata dia gembira dengan pencapaian anak buahnya yang mempamerkan satu permainan menakjubkan dengan kemenangan besar ke atas KLHC.

Dia memberi mesej jelas iaitu mahu menang dan mengutip tiga mata ke atas Sapura, esok.

INFO

JADUAL PERLAWANAN

Esok (Ahad)

KLHC mln UniKL (6 ptg)

Padang I, Std Nasional, Bkt Jalil

Maybank mln Tenaga (6 ptg)

Padang II, Std Nasional, Bkt Jalil

Terengganu mln Sapura (5 ptg)

(Std Hoki Kuala Terengganu)

KEDUDUKAN

Divisyen Perdana LHM

.............................P M S K J B Mt

THT .....................9 8 0 1 42 16 24

KLHC....................9 8 0 1 30 13 24

TENAGA..............8 3 0 5 13 17 9

SAPURA.............. 8 1 3 4 15 24 6

UNIKL................. 9 1 3 5 9 25 6

MAYBANK.......... 9 0 4 5 13 27 4

Berita Harian X