Isnin, 24 Oktober 2016 | 7:08am

Bajet dirangka selaras unjuran pendapatan

NAK kata tak faham, rasanya tidak. Tapi agak pelik juga bila ada kalangan wakil rakyat yang kata Bajet 2017 dibentangkan kelmarin tak realistik. Secara umumnya bajet adalah anggaran perbelanjaan berdasarkan unjuran pendapatan yang bakal diraih.

Dalam membuat bajet ini, jika pendapatan yang diraih tetap dan pasti seperti orang bekerja makan gaji, ia adalah mudah. Apa yang perlu dibuat cuma selaraskan rancangan perbelanjaan dengan pendapatan tetap yang akan diterima. Tapi bagi menyediakan bajet kerajaan ia bukan mudah.

Jumlah perbelanjaan boleh ditentukan, tetapi berapa pendapatan yang bakal diraih cuma boleh diunjurkan berdasarkan sumber sedia ada dan yang dijangkakan.

Sumber itu pula kebanyakan dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk yang di luar kawalan. Jadi apa yang boleh dibuat kerajaan ialah melakukan unjuran setepat mungkin agar pendapatan sebenar yang diraih tidak tersasar jauh daripada diunjurkan. Menentukan apa yang perlu dibelanjakan juga bukan mudah.

Setiap perbelanjaan bukan sahaja perlu dipastikan dapat menyelesaikan masalah rakyat, tetapi pada masa sama dapat membantu merangsang ekonomi kerana ia juga akan menentukan sasaran pendapatan dapat dicapai.

Justeru, dalam menyediakan bajet kerajaan ini, ia berkaitan perancangan, unjuran dan strategi. Sebab itu pada setiap pembentangan bajet ia diakhiri dengan ungkapan 'saya mohon mencadangkan.'

Jika ada kalangan wakil rakyat yang rasa apa dicadangkan tidak realistik, bahaskan serta buktikan supaya dapat dibetulkan. Bukannya protes dan bising di luar dewan. Bagi Bajet 2017, sejajar dengan kelemahan ekonomi luaran, perbelanjaan kerajaan terus ditumpukan kepada usaha merangsang permintaan domestik.

Dalam hal ini, strategi serampang dua mata terus digunakan. Sebagai contoh, langkah menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Selain objektif utama membantu golongan berpendapatan rendah menangani kenaikan kos sara hidup, ia juga adalah pakej merangsang ekonomi. BR1M ini akan menyuntik RM6.8 bilion perbelanjaan ke dalam ekonomi yang sudah tentu bakal memanfaatkan sektor perniagaan.

Begitu juga dengan cadangan menaikkan elaun ketua kampung dan imam serta Bantuan Khas masing-masing RM500 dan RM250 kepada penjawat awam dan pesara.

Bantuan Khas kepada lebih 1.6 juta penjawat awam sahaja bakal menyuntik perbelanjaan domestik tambahan sekitar RM800 juta.

Bagi yang bekerja di sektor swasta dan tidak berada dalam kategori penerima BR1M mungkin ada yang merungut, 'kami bayar cukai pendapatan, tapi tak dapat apa-apa pun.'

Mereka ini mungkin tidak menerima habuan secara langsung, tetapi apabila ekonomi negara berkembang pesat, syarikat akan buat lebih banyak untung yang kemudian memanfaatkan pekerja dari segi bayaran bonus dan kenaikan gaji lebih tinggi.

Berita Harian X