Isnin, 24 Oktober 2016 | 12:02am
TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah (tengah), menyampaikan Anugerah L'Oreal-UNESCO For Women in Science 2016 kepada Dr Fatehah. - Foto Aziah Azmee

Usaha rawat sisa buangan industri cemari sungai


DR Fatehah ketika meninjau kawasan kajian di ladang kelapa sawit.

KUALA LUMPUR: Kebimbangan terhadap masalah pencemaran sungai yang tidak berkesudahan mendorong Dr Fatehah Mohd Omar menjalankan penyelidikan terperinci bagi mencari kaedah terbaik merawat air sisa buangan industri.

Saintis yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, penyelidikan terbabit bermula awal tahun ini dengan memfokus kepada kajian sifat asas bahan pencemar dalam air sisa berkenaan.

Beliau berkata, penyelidikan dilakukan bersendirian itu bertujuan menemukan kaedah rawatan kimia berdasarkan pengetahuan mengenai dua sifat asas yang dikaji, iaitu cas permukaan air dan saiz partikel bahan pencemar terbabit.


DR Fatehah komited menjalankan penyelidikan bagi mencari kaedah terbaik merawat air sisa buangan industri untuk mengatasi masalah pencemaran sungai.

Jimatkan masa, kos

"Usaha ini diyakini mampu menemukan suatu proses rawatan yang dijangka dapat menjimatkan masa dan kos, selain memberi manfaat kepada manusia serta alam sekitar, sekali gus mengurangkan risiko pencemaran," katanya.

Sambil mengaku inisiatif itu mendapat sokongan penuh bapanya, Prof Dr Ir Mohd Omar Ab Kadir yang juga pensyarah di USM, Dr Fatehah mengaku kemelut pencemaran sungai akibat air sisa buangan industri yang disaksikan sendiri menyemarak inspirasi untuk menjalankan penyelidikan berkenaan.

"Sebagai generasi pelapis negara, saya rasa bertanggungjawab melakukan sesuatu berhubung perkara itu kerana kita berhak untuk menikmati bekalan air dan persekitaran yang bersih.


PENSYARAH Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM, Dr Fatehah Mohd Omar.

Cari tenaga pakar

"Setakat ini, saya masih bergerak solo tetapi pada masa sama, berusaha mencari beberapa tenaga pakar berkaitan untuk berkolaborasi memperoleh hasil lebih baik," katanya.

Terbaru, inisiatif penyelidikan Dr Fatehah turut diiktiraf apabila terpilih sebagai seorang daripada tiga penerima Anugerah L'Oreal-UNESCO For Women in Science 2016.

Mengulas pencapaian itu, beliau berkata, anugerah berkenaan bukan sahaja penghargaan cukup bermakna kepada diri, malah menyuntik galakan untuk terus menjalankan penyelidikan yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan manusia.

INFO: Dua jenis sisa buangan kilang / industri

- Sisa produksi yang terhasil daripada proses pembuatan produk di kilang / industri.

- Sisa bukan produksi yang terhasil daripada aktiviti pentadbiran atau pengurusan di pejabat, kantin, persekitaran dan sebagainya di dalam kawasan kilang / industri.

PROFIL: Dr Fatehah Mohd Omar

Umur: 35 tahun

Tempat lahir: Amerika Syarikat

Status: Berkahwin

Bilangan anak: 5 orang

Pendidikan rendah: Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lanchang, Pulau Pinang

Pendidikan menengah: Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St George, Pulau Pinang

Pendidikan tinggi:

- Ijazah Sarjana Muda Teknologi (Persekitaran), USM

- Ijazah Sarjana Teknologi (Persekitaran), USM

- Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Alam Sekitar, University of Geneva, Switzerland

4. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah (tengah), menyampaikan Anugerah L'Oreal-UNESCO For Women in Science 2016 kepada Dr Fatehah.

29 dibaca
Berita Harian X