Ahad, 23 Oktober 2016 | 6:12pm

Murid hidap kanser rahang meninggal dunia


MUHAMMAD Syafi menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya, Norzuriana Madri, 38, dan bapa, Mohd Syahrizan Ibrahim, 39, di rumah keluarganya di Taman Selasih, Padang Landak, Jertih.

JERTIH: Selepas lebih dua tahun menderita penyakit kanser rahang, Muhammad Syafi Mohd Syahrisan, 7, dari Sekolah Kebangsaan Nyior Tujuh, dekat sini, meninggal dunia jam 3 petang tadi.

Muhammad Syafi menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya, Norzuriana Madri, 38, dan bapa, Mohd Syahrizan Ibrahim, 39, di rumah keluarganya di Taman Selasih, Padang Landak, dekat sini.

Pemergian kanak-kanak itu bukan sahaja dirasai keluarganya, malah kesedihan turut dikongsi orang ramai berikutan penderitaan Muhammad Syafi menarik perhatian pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan dan mendapat liputan meluas media.

Allahyarham menghidap 'Infantile Fibrosarcoma' pada Ogos 2014 selepas disahkan menerusi biopsi pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

"Saya reda dengan pemergian arwah selepas lebih dua tahun dia menderita sakit dan terlantar di rumah," kata Norzuriana ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

berkata, kali terakhir Allahyarham mendapat rawatan di HUSM pada Rabu minggu lalu dan selepas itu anaknya kelihatan sihat.

"Bagaimanapun, keadaan kesihatan arwah merosot sejak malam tadi sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya petang ini," katanya.

Jenazah Muhammad Syafi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, dekat sini, selepas solat Isyak malam ini.

Penderitaan kanak-kanak itu sebelum ini turut mendapat perhatian Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, yang mengumumkan bantuan segera RM100,000 kepada keluarganya bagi urusan perubatan.

Berita Harian X