Ahad, 23 Oktober 2016 | 2:46pm

Kerajaan, PBT diminta longgar syarat pembangunan projek

ALOR SETAR: Kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta melonggarkan syarat pembangunan projek kepada pemaju perumahan yang membina rumah mampu milik.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Kedah/Perlis, Datuk Rick Cheng Wooi Seong, berkata kelonggaran syarat itu berkaitan kemudahan serta infrastruktur yang kini banyak membebankan pemaju.

Katanya, pemaju terikat dengan pelbagai syarat berbeza ditetapkan Kerajaan Persekutuan serta PBT dan akhirnya terpaksa menaikkan harga rumah mampu milik terbabit.

"Sebagai contoh, syarat jalan tempatan bersaiz 12 meter. Saiz itu membebankan pemaju sedangkan saiz sembilan meter sudah memadai. Syarat itu meningkatkan kos pemaju selain kos harga tanah yang turut meningkat saban tahun.

"Akhirnya kami terpaksa menaikkan harga rumah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut mencadangkan kepada pemaju tempatan supaya menangguhkan seketika proses tanda tangan surat cara pindah milik bersama pembeli bagi memastikan pembeli rumah pertama mendapat pengecualian duti setem yang dinaikkan kerajaan 100 peratus bermula Januari depan.

Katanya, pihaknya akan memberi kerjasama kepada kerajaan agar rakyat mendapat manfaat menerusi pengecualian duti setem terbabit.

"Jika pemaju turut memberi insentif RM5,000 kepada pembeli, pembeli akan dapat kurangkan kos berkaitan yang pastinya menguntungkan mereka. Saya menyambut baik pengecualian itu walaupun ia dihadkan pada nilai rumah RM300,000 ke bawah.

"Di Kedah dan Perlis, kebanyakan harga rumah mampu milik berada di paras itu berbanding di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru yang kebanyakan dijual pada harga lebih tinggi," katanya.

13 dibaca
Berita Harian X