Sabtu, 22 Oktober 2016 | 11:48pm

PQPTRW raih tempat ke-4 Liga Super

PEMAIN Kelantan, Blazhe Ilijoski (kiri) dihalang pemain Perak, Mohd Raffi Nagoorgani pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Kelantan berjaya meraih tempat keempat carta liga setelah seri 2-2 menentang Perak, sekali gus menepati sasaran meraih tempat keempat carta Liga Super.

Peluang terbaik PQPTRW menghasilkan jaringan menjelma pada minit pertama menerusi , Wander Luiz Junior dan Indra Putra Mahayudin pada minit keempat namun berjaya diselamatkan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim.

Malah Hafizul turut bertindak bijak menghalang percubaan Mohamad Qayyum pada minit ke-14 bagi mengelak gawang pasukannya dibocori pasukan tuan rumah.

Sementara itu, Perak turut mencipta beberapa peluang menghasilkan gol menerusi tandukan Thiago Junio minit ke-17 dan Mohamad Hafiz Ramdan minit ke-20 namun diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.

Babak kedua menyaksikan anak buah Karl Heinz Weigang turut memiliki peluang menghasilkan jaringan pada minit-48 setelah Mohamad Qayyum menjatuhkan Elias Fernades, namun sepakan diambilnya sedikit tersasar.

Gol penyamaan Perak dijaringkan Elias Fernandes de Olivera pada minit ke-53 hasil hantaran lintang Mohd Ridzuan terus dirembat deras gagal di selamatkan Khairul Fahmi .

The Boss Gaurus berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Mohd Fazrul Hazli pada minit ke-66 yang menerima hantaran lintang Shahrul Mohd Saad menewaskan kali kedua Khairul Fahmi.

Perlawanan sedikit tegang minit ke-71 setelah insiden Wan Zaharulnizam dan Amirul Azhan Aznan dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Fitri Maskon.

Gol penyamaan Kelantan dijaringkan minit akhir perlawanan menerusi Blazhe Ilijoski minit 92 hasil hantaran Kapten PQPTRW Mohd Badhri Radzi.

Perlawanan berakhir seri 2-2, sudah cukup untuk anak buah Velizar Popov meraih tempat keempat dalam kedudukan carta Liga Super dengan mengumpul 29 mata.

Berita Harian X