Sabtu, 22 Oktober 2016 | 5:58pm

Kerajaan cari mekanisme mudahkan pinjaman bank beli rumah


EKSEKUTIF Jualan Land & General Berhad, Muhammad Akram memberi penerangan kepada Helen Liew dan Christ Phang (kiri) mengenai projek perumahan pada Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) 2016 di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mencari mekanisme berkesan bekerjasama dengan bank untuk membantu pembeli rumah membuat pinjaman, sebagaimana dilaksanakan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata kementeriannya menerima laporan sehingga kini 11,000 rumah siap dibina, tetapi tiada pembeli kerana kesukaran mendapatkan pembiayaan kewangan.

"Begitu juga rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), masih banyak tidak dapat dijual kerana tiada bank memberi pinjaman kepada pemohon walaupun hanya dijual pada harga RM35,000.

"Ada yang sudah siap dua tahun tetapi masih belum diduduki. Kementerian meminta kerjasama pihak bank supaya memberi pinjaman kepada pemohon kediaman itu," katanya berucap merasmikan Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) 2016 di Pusat Pameran Mid Valley, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MAPEX, 2016, Datuk Ng Seing Liong serta Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar.

Pameran tiga hari bermula semalam hingga esok disertai 50 pemaju perumahan dan sehingga semalam, lebih 30,000 mengunjungi pameran itu.

14 dibaca
Berita Harian X