Sabtu, 22 Oktober 2016 | 3:41pm

Naikkan pengecualian duti setem kepada RM500,000 - REHDA


NOH mendengar penerangan daripada FD Iskandar (kanan) mengenai pembangunan yang dilakukan oleh Glomac ketika melawat pameran selepas melancarkan Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia 2016, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) meminta kerajaan menilai semula pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan surat cara pinjaman perumahan daripada RM300,000 yang diumumkan dalam Bajet 2017 kepada RM500,000.

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar, berkata ia bagi memastikan pembeli kediaman pertama yang berkelayakan, memperoleh pinjaman dan berupaya membayar balik, khususnya di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang serta Johor.

"REDHA meminta kerajaan menilai semula jumlah pengecualian duti setem sehingga RM500,000," katanya pada sidang media selepas perasmian Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia 2016, di sini, hari ini.

Perasmian ekspo disempurnakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat, semalam mengumumkan pengecualian duti setem dinaikkan 100 peratus ke atas surat cara pindah milik dan surat cara pinjaman perumahan bagi membantu mengurangkan kos pemilikan rumah pertama, berbanding 50 peratus ketika ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, layanan pengecualian itu terhad kepada nilai rumah sehingga RM300,000 bagi pembelian kediaman pertama di antara tempoh 1 Januari 2017 sehingga 31 Disember 2018.

66 dibaca
Berita Harian X