Sabtu, 22 Oktober 2016 | 2:55pm

Civic baharu tampil dengan kelainan


Wakil media yang mengikuti sesi pandu uji Honda Civic baharu di Sabah, baru-baru ini.

SEJAK dulu lagi Civic sememangnya model kereta Honda yang begitu popular dan diminati di negara ini.

Justeru, kemunculan generasi ke-10 model itu yang dilancarkan baru-baru ini sememangnya begitu dinantikan, apatah lagi model terbaharu itu turut memperkenalkan enjin turbo yang kali pertama diperkenalkan oleh Honda untuk model berkenaan.

Seperti model sebelumnya, generasi ke-10 Civic dikenali dengan panggilan FC yang dilancarkan oleh Honda Malaysia baru-baru ini itu juga adalah sebuah sedan yang memukau.

Reka luaran yang mengambil inspirasi sebuah fastback nyata menjadikannya begitu sporty.

Ditambah rekaannya yang rendah dan lebar, hud lebih panjang serta garis badan yang tajam, Civic memang mencuri perhatian.

Civic baharu itu menampilkan perubahan agak ketara berbanding generasi sebelumnya dengan rekabentuk lebih besar berbanding model generasi sebelumnya, tetapi berat keseluruhan lebih ringan iaitu 1,195 kg.

Kerangkanya pula dibina menggunakan keluli berketahanan ultra-tinggi, yang turut memberikan ketegaran kilasan (torsion rigidity) dipertingkatkan sebanyak 25 peratus.


MODEL generasi ke-10 itu turut menampilkan varian enjin turbo yang kali pertama diperkenalkan.

Berbanding saingan sekelasnya dalam segmen-C buatan Jepun pula, Civic baharu ini dengan 4,630 mm panjang adalah 10 mm lebih panjang berbanding Toyota Altis (4,620 mm), 4 mm lebih lebar dan 34 mm lebih rendah berbanding Mazda 3 (1,795 mm/1,450 mm), manakala jarak roda untuk Civic, Altis dan Mazda 3 adalah sama iaitu 2,700 mm.

Penampilannya disempurnakan lagi dengan penggunaan lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED. Di bahagian belakang pula, lampu berbentuk C sangat bergaya dan kemas.

Bagi pasaran Malaysia, Honda Malaysia menawarkan tiga varian untuk model terbaharu Civic itu, model asas 1.8 liter SOHC i-VTEC, spesifikasi pertengahan 1.5 liter VTEC Turbo dan spesifikasi tertinggi 1.5 liter VTEC Turbo.

Baru-baru ini, Honda Malaysia menganjurkan sesi pandu uji model berkenaan di Sabah, yang memberikan peluang kepada penulis menguji serta merasai sendiri pengalaman memandu model terbaharu Civic itu.

Dalam sesi pandu uji membabitkan laluan sekitar Kota Kinabalu ke beberapa bandar lain itu, Honda Malaysia menyediakan sembilan model Civic FC 1.5 liter VTEC Turbo dan sebuah 1.8 liter.

Disebabkan ramai berebut untuk menguji pandu model 1.5 liter VTEC Turbo yang kali pertama diperkenalkan oleh Honda, penulis memilih untuk memulakan sesi pandu uji itu dengan model 1.8 liter SOHC i-VTEC terlebih dulu.

Secara keseluruhannya, enjin berkuasa 141PS dan tork 174Nm itu tidak mengecewakan.

Dipadankan dengan kotak gear CVT, ia menawarkan pemanduan yang lancar dan menjimatkan. Cuma, untuk tidak tertinggal daripada konvoi, penulis terpaksa memandu dengan sedikit agresif mengharungi pelbagai laluan agak mencabar dan berbukit terutama ketika menuju ke Kundasang di kaki Gunung Kinabalu.

Varian 1.8L juga tidak didatangkan dengan paddle shifter. Maka, penyelesaiannya ialah memandu dalam mode Sport (S).

Beralih kepada varian Turbo pula, enjin daripada keluarga 'Earth Dreams' Technology itu dikatakan mampu menghasilkan kuasa menyamai enjin bersesaran 2.4 liter yang mana enjin dengan sistem pancitan terus bahan api itu berupaya menjana kuasa mencecah 173PS dan tork maksimum 220Nm.

Dari sudut prestasi, enjin petrol suntikan bahan api terus 1.5 liter VTEC Turbo L15B7 yang dilengkapkan pada Civic FC adalah antara revolusi terbaharu yang dibawakan oleh Honda untuk barisan model Civic.


REKABENTUK inspirasi fastback menjadikannya begitu sporty.

'Bintang utama' pada enjin baharu itu ialah pengecas turbo dan juga sistem suntikan bahan api terus yang dipadankan.

Sebagai perbandingan, walaupun hanya berkapasiti 1.5 liter, enjin ini 16 ps/32 Nm lebih berkuasa berbanding enjin K20 2.0 liter DOHC i-VTEC pada Civic FD dan 18 hp/30 Nm lebih berkuasa berbanding enjin 2.0 liter R20A SOHC i-VTEC pada Civic FB.

Ketika sesi pandu uji ini, konvoi kami diketuai oleh 'lead car' Honda Accord 2.4 liter berkuasa 175 ps/225 Nm.

Dengan jumlah kuasa yang hampir sama, ternyata Civic baharu ini langsung tiada masalah untuk mengikut rentak pecutan Accord dengan kapasiti enjin jauh lebih besar berkenaan walaupun ketika sedang mendaki bukit.

Bagi pengendalian pula, karektor Civic baharu ini turut mengingatkan saya kepada Civic FD saya yang mana ia ditala dengan talaan agak sporty, tetapi masih mengambil kira keselesaan untuk kegunaan seharian.

Talaan pada Civic FC ini agak sama dengan FD dan lebih keras berbanding Civic FB, menyebabkan ia terasa sedikit 'memantul' pada permukaan jalan yang beralun dan tidak rata.

Satu perkara yang mengagumkan, sistem suspensi Civic ini mampu menyerap hentakan dengan sangat baik dan gegaran pada badan terasa sangat minimum ketika melalui jalan dengan permukaan yang agak teruk (permukaan tidak rata dan dan lubang-lubang kecil).

Ini tiada pada generasi FD mahupun FB, kerana FC dilengkapi dengan sesendal-sesendal (bushing) utama suspensi yang mengandungi bendalir di dalamnya.

Untuk ciri keselamatan, Civic baharu ini dilengkapi enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSC), Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, tali pinggang keledar pratekanan dan cangkuk tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Semua ciri ini bukan sahaja untuk varian 1.5 Turbo Premium, malah ia adalah standard untuk kesemua varian.

Varian 1.8L menampilkan kerusi fabrik, manakala 1.5 liter VTEC Turbo kemasan kulit.

Paling menarik, model ini juga dilengkapi Remote Engine Start yang membolehkan enjin dihidupkan dari jarak sejauh 40 meter dari kereta dengan hanya menekan butang pada kunci selama lima saat.

Honda Civic 1.5 Turbo Premium dijual pada harga atas jalan termasuk insuran RM135,800, berbanding varian 1.5 Turbo yang dijual pada harga RM127,800 dan RM113,800 untuk varian 1.8S serta . Setiap pembelian hadir dengan perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Model itu menawarkan lima pilihan warna iaitu White Orchid Pearl, Crystal Black, Lunar Silver, Modern Steel dan Dark Ruby Red.

INFO: Spesifikasi Honda Civic

  • 1.8 liter SOHC i-VTEC
  • KUASA 141hp @ 6,500rpm
  • TORK 174Nm @ 4,300rpm
  • TRANSMISI CVT
  • DAYA PECUTAN 0-100 km/j : 10.2s

1.5 liter VTEC Turbo

  • KUASA 173hp @ 5,500rpm
  • TORK 220Nm @ 1,700rpm -5,500rpm
  • TRANSMISI CVT
  • DAYA PECUTAN 0-100 km/j : 8.2s
45 dibaca
Berita Harian X