Sabtu, 22 Oktober 2016 | 6:01am

Peluang Mourinho lunas dendam ke atas Chelsea

MINGGU ini sekali lagi Manchester United menjadi tumpuan bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Selepas minggu lalu berentap dengan seteru ketat, Liverpool di Anfield, kali ini mereka bertandang pula ke Stamford Bridge bertemu Chelsea.

Satu lagi pertembungan dua kelab gergasi yang dijangka memercikkan lagi kehangatan saingan musim ini. Apa jangkaan keputusan anda bagi perlawanan tumpuan bagi minggu kesembilan ini?

Minggu lalu, di laman The Reds, barisan Jose Mourinho gagal membawa pulang mata penuh selepas anak buah Jurgen Klopp mengikat mereka tanpa jaringan. Satu keputusan yang dilihat mengecewakan kedua-dua pasukan.

Sebelum kita memperkatakan lebih lanjut mengenai aksi tumpuan yang dijangka sengit itu, kita imbas keputusan minggu lalu dan kedudukan terkini liga.

Manchester City terus kekal menerajui liga dengan himpunan 19 mata meskipun terikat 1-1 dengan Everton, manakala Arsenal di tangga kedua, dengan jumlah mata sama selepas mengecewakan Swansea City, 3-2. Tottenham Hotspurs di tempat ketiga dengan ketinggalan satu mata dan diikuti Liverpool yang terlepas peluang merampas pendahulu selepas diikat United menerusi himpunan 17 mata.


JOSE Mourinho. - Foto AFP

Berbalik kepada aksi Chelsea-United di Stamford Bridge jam 11 malam esok waktu Malaysia, perlawanan besar ini harus dianggap penting buat kedua-dua pasukan.

Buat United, memburu mata penuh adalah sasaran. Namun bagi Mourinho mungkin lebih dari itu. Ini adalah kali pertama The Special One kembali ke gelanggang keramat di The Blues selepas dipecat pada Disember lalu. Bagaimana agaknya perasaan Mourinho apabila kembali ke tempat dia pernah menjulang Chelsea sebagai juara EPL? Begitu juga kepada pengurusan pasukan dan penyokong setia di The Blues.

Adakah mereka akan memberi sambutan positif kepada Mourinho atau sebaliknya? Tak sabar rasanya untuk kita saksikan perlawanan ini. Minggu lalu, Chelsea yang dihambat isu pemecatan jurulatih mereka, Antonio Conte menjinakkan juara bertahan, Leicester City, 3-0 di laman sendiri.

Keputusan meyakinkan itu dianggap penting buat Conte kerana ia melenyapkan terus sebarang isu membabitkan pemecatan beliau.

Saya tidak mahu terlalu optimis terhadap kemampuan United membawa pulang tiga mata, namun kejayaan membenam gergasi Turki, Fenerbache, 4-1 dalam saingan Liga Europa pada Khamis dengan pemain termahal dunia, Paul Pogba meledak dua gol, saya percaya Red Devils tidak akan kecewa seperti di Anfield.

Mourinho saya percaya sudah ada ramuan mujarab untuk membalas dendam ke atas bekas majikannya itu malam esok tatkala United tidak boleh lagi tercicir mata andai enggan terus ketinggalan.

Dalam pada itu bagi aksi lain, City dijangka berdepan satu lagi ujian besar apabila menyambut kunjungan Southampton. Pep Guardiola tidak boleh lagi terlepas mata jika ingin terus kekal di puncak liga. Arsenal pula dijangka tiada masalah untuk mengutip mata penuh lagi apabila melayan kunjungan Middlesbrough di laman sendiri selepas membelasah Ludogorets 6-0 dalam saingan Liga Juara-Juara.

Liverpool pula akan melayan West Brom di Anfield. The Reds juga juga dijangka tiada masalah mengutip mata penuh. Juara bertahan, Leicester pula diramal mampu bangkit apabila apabila menerima kedatangan Crystal Palace. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-9

Bournemouth 1 Tottenham Hotspur 2

Arsenal 4 Middlesbrough 0

Leicester City 1 Crystal Palace 1

West Ham 1 Sunderland 1

Hull City 2 Stoke City 2

Swansea City 2 Watford 1

Burnley FC 1 Everton 3

Liverpool 3 West Brom 0

Manchester City 3 Southampton 1

Chelsea 1 Manchester United 2

Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X