Khamis, 20 Oktober 2016 | 9:06pm
TIMBALAN Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching (tiga,kiri) dan Duta Besar Republik Bolivaria Venezuela di Malaysia, Manuel Antonio Guzman Hernandez (kanan) melancarkan buku terkini terbitan bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan republik itu sempena Minggu Venezuela ke-11 di ITBM hari ini.Turut hadir Ketua Jabatan Terjemahan dan Latihan ITBM Siti Rafiah Sulaiman (dua dari kiri). Foto BERNAMA

Dua buku rai hubungan diplomatik Malaysia-Venezuela

KUALA LUMPUR: Dua buku yang meraikan hubungan diplomatik Malaysia dan Venezuela selama tiga dekad dilancarkan di Wisma Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Karya itu dilancarkan sempena pembukaan Minggu Venezuela ke-11, yang bertujuan mempereratkan hubungan persahabatan dua negara berbeza budaya dan bahasa.

ITBM dalam kenyataannya berkata, buku itu adalah Dona Barbara karya Ramulo Gallegos, yang diterjemahkan ke bahasa Melayu dan Antologi Cerpen Malaysia-Venezuela dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, Inggeris serta Sepanyol.

"Penerbitan buku ini memperlihatkan hubungan kesusasteraan kedua-dua negara pascakolonial ini, yang berupaya mewujudkan persefahaman dan persaudaraan sejagat.

"Usaha menghimpunkan karya penulis ini membolehkan pembaca tempatan memahami corak penulisan dan pemikiran pengarang negara lain terutamanya yang banyak menghasilkan karya bertaraf antarabangsa," kata kenyataan itu.

Karya itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Yang turut hadir, Duta Besar Republik Bolivaria Venezuela di Malaysia, Manuel Antonio Guzman Hernandez dan Ketua Jabatan Terjemahan & Latihan ITBM, Siti Rafiah Sulaiman.

Dona Barbara adalah karya fiksyen diterbitkan pada 1929, yang malar segar dan menjadi inspirasi kepada sasterawan kontemporari selepasnya seperti dua Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan, Gabriel Garcia Marquez serta Mario Vargass Llosa.

Antologi Cerpen Malaysia-Venezuela pula menghimpunkan karya Gabriel Jimenez Eman, Laura Antillano dan Wilfredo Machado dari Venezuela, manakala Malaysia diwakili Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan, Aminah Mokhtar dan Muhammad Lutfi Ishak.

Berita Harian X