Khamis, 20 Oktober 2016 | 8:54pm

KEMAS tidak lagi ketinggalan - Ismail Sabri


MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama orang ramai pada majlis penyampaian Surat Tawaran Pelantikan Penolong Pegawai dan Pembantu Pembangunan sempena penstrukturan semula kakitangan kontrak KEMAS, di Putrajaya, hari ini. - Foto Noor Atiqah Sulaiman

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus relevan kepada masyarakat luar bandar, bukan sahaja dalam bidang pendidikan, malah dalam meningkatkan sosioekonomi golongan terbabit.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata masyarakat kini perlu mengubah persepsi bahawa KEMAS adalah jabatan yang ketinggalan kerana ia sebenarnya banyak membantu kerajaan menyebarkan maklumat terutama mengenai program yang dijalankan kerajaan untuk kumpulan sasar itu.

"KEMAS adalah institusi yang paling rapat dan besar tanggungjawabnya dalam mengubah kehidupan masyarakat luar bandar dari dulu hingga kini.

"Antara peranannya ialah mengajak masyarakat luar bandar untuk bersama-sama memahami pemodenan yang dilakukan oleh kerajaan.

"Saya beranggapan, tanggungjawab yang diberi kerajaan kepada KEMAS dilaksanakan dengan baik sekali oleh semua penyelia dan anggota KEMAS," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Surat Tawaran Pelantikan Penolong Pegawai dan Pembantu Pembangunan sempena penstrukturan semula kakitangan kontrak KEMAS, di sini, hari ini.

Turut hadir, dua timbalannya, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Ketua Pengarah KEMAS, Amiruddin Ariffin.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kenaikan gaji kakitangan KEMAS akan dilakukan melalui peningkatan gred.

Beliau yakin akan ada peruntukan khusus bagi KEMAS dalam Bajet 2017 yang akan diumumkan esok oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan akan ada beberapa pengubahsuaian dalam mata pelajaran yang diajar di Tadika KEMAS, antara lain, penambahbaikan matapelajaran pendidikan Islam selain menambah tajuk pengajian seperti keyakinan diri serta patriotisme.

Katanya, semangat cintakan negara agak kurang dalam kalangan generasi muda masa kini dan sudah sampai masanya aspek berkaitan patriotisme diajar dari kecil lagi.

Berita Harian X