Khamis, 20 Oktober 2016 | 2:35pm

Lima lagi koperasi sekolah capai jualan RM1 juta


PRESIDEN Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto BERNAMA

TUMPAT: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan lima lagi koperasi sekolah di seluruh negara yang mampu menjana perolehan jualan RM1 juta setahun, tahun ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata sehingga tahun lalu hanya tiga sekolah yang mencapai nilai perolehan itu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, Kota Bharu; SMK Bintulu (Sarawak) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas (Pulai Pinang).

Katanya, koperasi sekolah terbabit menjalankan perniagaan yang pelbagai antaranya peralatan sekolah, makanan dan perkhidmatan.

"Sebenarnya sekolah juga diberi tanggungjawab untuk mencari pendapatan sendiri dan penubuhan koperasi adalah langkah yang tepat.

"Dengan penubuhan koperasi itu juga membantu melahirkan ciri-ciri keusahawanan secara awal kepada pelajar sekali gus membantu mereka untuk menjadi usahawan selepas tamat pengajian.," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kiosk Koperasi SMK Wakaf Bharu di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi ANGKASA Kelantan, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa dan Pengetua SMK Wakaf Bharu, Mohd Azmi Awang.

Mengenai kiosk berkenaan, Abdul Fattah berkata, ia adalah yang keenam diwujudkan oleh koperasi sekolah di negeri ini.

Katanya, kiosk berkenaan turut menyediakan kafe dikenali Wakafians Cafe yang menyediakan menu pelbagai makanan dan minuman termasuk hidangan barat.

"Pendapatan keseluruhan koperasi SMK Wakaf Bharu adalah RM380,000 setahun dan dijangka meningkat dengan kewujudan kiosk itu," katanya.

Beliau berkata, lima lagi sekolah yang turut memiliki kiosk koperasi adalah SMK Kota dan SMK Ismail Petra di Kota Bharu; SM Perempuan Pasir Mas; SMK Hamzah, Machang, SMK Datuk Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah.

41 dibaca
Berita Harian X