Khamis, 20 Oktober 2016 | 1:57pm

GCH labur RM38 juta naiktaraf Giant Plentong

JOHOR BAHRU: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH), pengendali Pasar Besar Giant, melabur sebanyak RM38 juta bagi menaiktaraf Giant Plentong, dekat sini dalam usaha menawarkan persekitaran membeli-belah yang lebih selesa dan mesra pelanggan. 

Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail, Pierre Deplanck, berkata Giant Plentong yang sudah bertapak di bandaraya ini sejak 18 tahun lalu kini bukan sahaja berwajah baharu, malah turut disediakan 1,800 ruang meletak kenderaan untuk keselesaan pelanggan. 

"Giant Plentong yang didirikan di atas keluasan kira-kira 500,000 kaki persegi itu turut menempatkan 156 premis kedai dalam pasar raya berkenaan dan kita percaya ia mampu memenuhi keperluan harian kira-kira 300,000 penduduk setempat sekitarnya. 

"Malah, sejak kehadiran Giant Plentong kira-kira 18 tahun lalu kita juga sentiasa mendapat sokongan padu daripada pelanggan dan juga melihat perkembangan positif dalam aspek perniagaan," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada majlis perasmian Giant Plentong berwajah baharu di sini, hari ini. 

Majlis itu disempurnakan oleh Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Berita Harian X