Khamis, 20 Oktober 2016 | 12:00am

Giliran Ratu Elizabeth bertakhta paling lama


RATU Elizabeth II sebagai monarki paling lama memerintah.

TEMPOH hari, dunia menyaksikan kehilangan monarki paling lama menduduki takhta apabila Raja Bhumibol Adulyadej dari Thailand mangkat pada usia 88 tahun.

Selama 70 tahun menerajui Thailand, kemangkatan baginda pasti menjadi tamparan kepada negara itu yang masih bergolak dengan pemberontakan pemisah di selatan dan krisis politik yang tiada kesudahan.

Menaiki takhta pada 9 Jun 1946 dan ditabalkan secara rasmi pada 5 Mei 1950, rekod Raja Bhumibol pasti sukar diatasi mana-mana monarki yang masih ada ketika itu.

Selain Raja Bhumibol, ada beberapa monarki lain yang masih lagi menduduki takhta tetapi memandangkan usia mereka, rekod yang dipegang pemimpin kesayangan Thailand itu kelihatan sukar diatasi.

Kemangkatan Raja Bhumibol melonjakkan kedudukan Ratu Elizabeth II sebagai monarki paling lama memerintah iaitu 64 tahun.

Pada usia 90 tahun, monarki England itu masih kelihatan kuat menerajui negara berkenaan dan selain menjadi Ketua Komanwel.

Dilahirkan sebagai Elizabeth Alexandra Mary pada 21 April 1926 di London, baginda ialah anak sulung Duke dan Duchess of York, yang kemudian menjadi Raja George VI dan Ratu Elizabeth.

Bapa Ratu Elizabeth II menaiki takhta selepas abangnya, Raja Edward VIII melepaskan kedudukan itu.

Baginda mengahwini Putera Phillip pada 1947 dan mempunyai empat anak iaitu Putera Charles yang kini menjadi Putera Mahkota, Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward.

Pada usia 90 tahun, Ratu Elizabeth II ialah monarki paling tua di dunia.

Sementara Sultan Hassanal Bolkiah, turut tersenarai sebagai antara monarki paling lama menerajui negara iaitu 49 tahun. Pada usia 70 tahun, baginda ialah Sultan Brunei ke-29 dan yang pertama sebagai Perdana Menteri negara itu.

Anak sulung kepada Sultan Sir Muda Omar Ali Saifuddien III dan Raja Isteri Pengiran Anak Damit, baginda menaiki takhta sebagai Sultan Brunei berikutan pengunduran bapanya pada 4 Oktober 1967.

Raja Carl XVI Gustaf, 70, pula menaiki sebagai Raja Sweden selepas kematian datuknya, Raja Gustaf VI Adolf pada 15 September 73.

Bapanya, Putera Gustaf Adolf, maut dalam nahas kapal terbang pada 26 Januari 1947 di Lapangan Terbang Copenhagen. Tahun ini adalah tahun ke-43, beliau menduduki takhta Sweden.

Monarki paling kontroversi, Raja Mswati III dari Swaziland memasuki tahun ke-30 menduduki takhta negara itu pada usia 48 tahun. Baginda ditabalkan ketika berusia 18 tahun pada 1986, menjadikan baginda monarki paling muda di dunia ketika itu.

Baginda dikenali dengan amalan poligami walaupun dua daripada 15 isterinya dipilih oleh kerajaan.

Walaupun dihormati dan popular di Swaziland, dasar dan gaya hidup mewahnya membawa kepada bantahan rakyat dan kritikan antarabangsa.

Di Jepun, Maharaja Akihito, pada usia 82 tahun sudah 27 tahun menduduki takhta selepas ditabalkan pada 7 Januari 1989 berikutan kematian bapanya, Maharaja Hirohito. Baginda ialah maharaja ke-25 menurut senarai pengganti monarki tradisi Jepun.

Agak berbeza daripada negara lain, Akihito sudah pun menjadi pewaris takhta negara itu sejak kelahirannya dan pelantikan sebagai Putera Mahkota dibuat pada 10 November 1952.

Rakyat puja Bhumibol sebagai separuh dewa

Seperkara menarik mengenai Raja Bhumibol Adulyadej ialah baginda jarang sekali dilihat tanpa kamera tergantung di leher pada sebarang upacara, majlis malah ketika muncul dari hospital dengan kerusi roda.

Alat perakam itu adalah antara barangan penting dibawa baginda ke mana-mana selain peta buatan sendiri dan pensil dengan pemadam terutama apabila melawat projek di pedalaman Thailand.

Pada temubual dengan Perbadanan Penyiaran Britain pada 1981, Raja Bhumibol berkata: "Saya tidak tahu apa yang boleh didefinisikan sebagai 'Raja', ia menjadi masalah kerana dalam kedudukan saya, saya ialah Raja.

"Namun tugas saya bukan tugas seorang Raja. Ia sesuatu yang agak berbeza atau sukar ditafsirkan. Saya melakukan sesuatu yang saya rasa berguna."

Kemangkatan Raja Bhumibol, Khamis lalu disambut pilu seluruh rakyat Thailand yang memuja dan menganggap baginda sebagai separuh dewa.

Biarpun lama tidak muncul di khalayak ramai berikutan keadaan kesihatan, Raja Bhumibol tidak pernah hilang daripada fikiran rakyatnya.

Sebagai monarki paling lama menduduki takhta sehingga kemangkatannya iaitu 70 tahun, Raja Bhumibol, berhadapan 29 Perdana Menteri dengan terbaru, Prayuth Chan-ocha.

Baginda juga menyaksikan beberapa kejadian rampasan kuasa dalam kerajaan yang memberi kesan kepada landskap politik negara itu.

Krisis politik Thailand yang berpanjangan turut memberi kesan kepada Bhumibol yang memaksa baginda campur tangan untuk mengendurkan ketegangan.

Tidak dinafikan, rakyat negara itu harus bimbang memikirkan masa depan Thailand tanpa kelibat baginda.

Tambahan, Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn dilihat kurang mampu mendapat penghormatan seperti mendiang bapanya.


Raja Bhumibol Adulyadej bergambar bersama keluarga.

INFO: Raja Bhumibol Adulyadej
Tarikh Lahir: 5 Disember 1927
Umur: 88
Tempoh memerintah: 9 Jun 1946 sehingga 13 Oktober 2016
Tempat lahir: Hospital Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat
Permaisuri: Sirikit Kitiyakara
Anak: Empat
Pewaris: Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn

  • INFO: Mornarki yang masih bertakhta
  • Pada 2015, Ratu Elizabeth II mengatasi moyangnya, Ratu Victoria sebagai monarki dan ketua negara perempuan paling lama dalam sejarah dunia.

  • Sultan Hassanal Bolkiah disenaraikan antara individu terkaya dunia dalam majalah Forbes dengan anggaran harta bernilai AS$20 bilion (RM84 bilion) pada 2008.

  • Raja Carl XVI Gustaf berusia sembilan bulan ketika berada dalam senarai kedua pewaris takhta Sweden selepas datuknya.

  • Ibu Raja Mswati ialah salah seorang daripada 125 isteri yang dimiliki bapanya, King Sobhuza II

  • Maharani Michiko ialah rakyat biasa pertama mengahwini keluarga diraja selepas bertemu Maharaja Akihito di gelanggang tenis pada Ogos 1957.

Berita Harian X