Rabu, 19 Oktober 2016 | 5:57pm

Susu Marigold HL coklat tercemar akibat kerosakan injap

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendapati susu Marigold HL perisa coklat yang menjadi pekat daripada biasa sehingga ditarik dari pasaran sebelum ini, berpunca daripada pencemaran bakteria akibat injap yang rosak semasa pemprosesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata siasatan kementerian juga menunjukkan syarikat pengeluar, Malaysia Milk Sdn Bhd (Malaysia Milk) sudah mengambil tindakan pembetulan terhadap kerosakan injap berkenaan.

"Kementerian juga sedang memantau proses penarikan balik dan pelupusan produk terbabit bagi memastikan semua produk yang dihasilkan dari tarikh pengilangan produk seperti dalam aduan sehingga masa kerosakan injap dikesan ditarik balik.

"Justeru, kementerian menasihatkan orang ramai supaya mengikut nasihat syarikat berkenaan, jangan meminum produk terbabit dan memulangkannya kembali produk yang dimaksudkan kepada penjual," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BH pada Selasa lalu melaporkan Malaysia Milk menarik balik produk susu Marigold HL 200 mililiter dan satu liter daripada pasaran serta-merta kerana terjejas akibat pencemaran bakteria.

Tindakan itu dibuat selepas menerima maklum balas pelanggan berhubung produk susu berperisa coklatnya lebih pekat daripada biasa.

Walaupun maklum balas pelanggan merujuk secara khusus kepada susu Marigold HL berperisa coklat, namun syarikat itu turut menarik balik produk susu lain sebagai langkah pro aktif, termasuk Marigold HL lemak rendah, berperisa strawberi dan sterol tumbuhan yang mempunyai tarikh luput sebelum 7 November bagi Semenanjung Malaysia dan sebelum 11 November bagi Sabah, Sarawak serta Labuan.

Berita Harian X