Rabu, 19 Oktober 2016 | 5:00pm

Exists bakal gegar pentas konsert di Singapura


KUMPULAN Exists.

KUALA LUMPUR: Kerinduan peminat Singapura terhadap kumpulan Exists bakal terubat apabila mereka tampil mengadakan konsert di negara itu pada 2 Disember depan.

Konsert diberi nama Throwback Exists yang akan berlangsung di The Pavilion, Far East Square itu akan menampilkan Ezad selaku vokalis, Ujang (dram), Musa (bes) dan Along (gitar).

Menurut penganjurnya, Franco daripada CMX International dan Frankoland Management, konsert itu diadakan bagi memenuhi permintaan peminat di republik terbabit yang sering bertanyakan mengenai persembahan Exists di sana.

"Ramai peminat di Singapura bertanyakan mengenai penganjuran konsert Exists. Permintaan terhadap kemunculan mereka sememangnya tinggi. Justeru, kami ingin menunaikan permintaan mereka menerusi konsert Throwback Exists ini.

"Ia pasti mengubat kerinduan peminat terhadap mereka, lebih-lebih lagi Exists akan mempersembahkan deretan lagu hits dan 'berhantu' kumpulan berkenaan pada konsert terbabit. Persembahan selama sejam itu juga pastinya mengembalikan nostalgia dan kenangan indah peminat bersama karya indah Exists," kata Franco.

Menurut beliau, antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Mengintai Dari Tirai Kamar, Alasanmu, Jesnita dan Masih Terserlah Ayumu.

Sementara itu, Ujang berkata, walaupun sibuk dengan komitmen masing-masing, anggota kumpulan itu akan memulakan latihan menghadapi persembahan berkenaan bermula bulan depan.

Along pula sudah pun memulakan kerja praproduksi dan susunan muzik lagu yang bakal dibawakan dengan menyuntik elemen segar terhadap karya berkenaan.

Ujang turut memberitahu, Throwback Exists akan menjadi permulaan buat kumpulan itu untuk kembali dengan beberapa konsert 'reunion' seterusnya pada tahun mendatang.

"Sebenarnya sudah lama kami berhasrat untuk kembali dengan persembahan 'reunion' kumpulan Exist. Mungkin Konsert Throwback Exists ini menjadi pembukaan kepada hasrat kami. Menjadi harapan kami untuk memulakan sesuatu bersama Exists pada tahun hadapan," ujarnya.

Menurut Ujang, kali terakhir mereka mengadakan persembahan adalah pada 2013 di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Sementara itu, penyanyi baharu, Khai Bahar, akan muncul sebagai penyanyi jemputan pada konsert itu nanti.

Tiket konsert mula dijual pada 29 September lalu dan sehingga kini, tiket yang membolehkan peminat menghadiri sesi ramah-mesra sudah pun habis dijual.

Mereka yang ingin mendapatkan tiket dan maklumat mengenainya boleh menghubungi Sham di talian +6593250161 atau Franko +60127677325.

Sehingga kini Exists memiliki sembilan album studio iaitu Exist (1991), Anugerah (1993), Diammu Gunung Berapi (1995), Jangan Gentar (1997), Mutan (1998), Ada (2001), Seperti Dulu (2003), Paragon (2004) dan Hits Rakaman Semula (2007).

Berita Harian X