Rabu, 19 Oktober 2016 | 4:53pm

SAJ potong bekalan air selepas keluarkan notis

JOHOR BAHRU: SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ) menjelaskan langkah pemotongan bekalan air adalah mengikut peraturan selepas pelanggan didapati gagal menjelaskan tunggakan bil dalam tempoh diberikan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Wahab Abdul Hamid, berkata lazimnya SAJ akan mengemukakan peringatan atau kad merah sebagai notis pemotongan bekalan air bertempoh 14 hari dikeluarkan bersama bil semasa.

Katanya, kejadian dua lelaki yang menyerang dua kontraktor SAJ di Kampung Melayu, dekat Kulai, kelmarin, adalah kes serius dan pihaknya menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Walaupun kedua-dua mangsa adalah kontraktor SAJ yang dilantik, mereka adalah di bawah tanggungjawab SAJ. Justeru, mereka dilindungi mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, SAJ selaku operator pembekalan air di negeri ini sentiasa membuka ruang bagi rundingan penyelesaian masalah air antara pelanggan dan syarikat, tanpa perlu melalui jalan kekerasan.

"Pengguna bekalan air di negeri perlu sentiasa mematuhi peraturan dan prosedur yang termaktub ketika memohon bekalan air ke premis masing-masing.

"Selepas permohonan diluluskan, SAJ menjalankan tanggungjawab untuk menyalurkan bekalan air dan menjadi tanggungjawab pengguna untuk mematuhi peraturan termasuk urusan pembayaran bil semasa," katanya.

Berita Harian X