Rabu, 19 Oktober 2016 | 3:22pm

Guru usah mudah terpengaruh berita di media sosial


Mekanik memastikan setiap go-kart diselenggara dengan sempurna sebelum perlumbaan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

SEPANG: Guru diingatkan supaya jangan mudah terpengaruh dengan laporan berita di media sosial atau membabitkan diri dalam apa-apa program yang boleh menjejaskan kewibawaan jawatan mereka.

Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG), Dr Noriati A Rashid, berkata guru seharusnya bertindak matang dan hanya menumpukan perhatian pada agenda utama iaitu mendidik generasi masa depan negara.

Katanya, sudah ada beberapa kes membabit guru tertentu yang memuat naik status atau komen yang tidak sepatutnya di media sosial sehingga menyebabkan kerjaya mereka terheret sama dalam isu berkenaan.

"Kita tidak mahu kes seumpamanya berulang. Justeru, saya nasihatkan guru-guru supaya tumpukan kepada kerjaya dan jangan sekali-kali melakukan sesuatu yang menjejaskan nama baik sektor perguruan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Transformasi Minda 2016, di Kem Bina Negara Tanjung Rhu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Kepimpinan dan Pembangunan Profesionalisme IPG, Dr Masitah Mohamamad Yusof dan Pengarah IPG Kampus Antarabangsa, Dr Nagalingam Karupiah.

Dr Noriati berkata, setiap guru perlu matang dalam berfikir dan pastikan boleh membawa sahsiah yang mampu mendidik anak murid kerana nasib generasi masa kini terletak di tangan guru.

"Jika tiada guru, tiadalah jurutera, pemimpin negara mahupun ulama. Justeru, guru tidak boleh mengalah dalam mendidik generasi akan datang. Layan anak murid seperti keluarga sendiri dan jangan bersikap perkauman," katanya.

Berita Harian X