Rabu, 19 Oktober 2016 | 11:53am

Air pasang besar: Jumlah mangsa di Selangor, Kedah masih kekal


KEADAAN ban Sungai Keramat di Kampung Batu 5 yang pecah. - Foto Faiz Anuar

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa akibat fenomena air pasang besar yang ditempatkan di pusat pemindahan masih kekal di Selangor dan Kedah.

Di SELANGOR, jumlah penduduk yang dipindahkan ke lima pusat pemindahan di sekitar Selangor kekal 497 orang sehingga jam 8.30 pagi ini.

Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Selangor berkata daripada jumlah itu, seramai 167 orang adalah penduduk dari Kampung Batu 5, Kapar, Klang yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali, Kapar.

Seramai 236 orang mangsa lagi adalah dari Kampung Tok Muda, Kapar dan 94 orang dari beberapa kampung sekitar daerah Sabak Bernam.

Mereka ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Sungai Air Tawar, Dewan Parit Baru dan Dewan Seri Sekinchan di Sabak Bernam.

Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata ban Sungai Keramat di Kampung Batu 5 yang sedang dibaiki, pecah semula ketika air pasang menyebabkan banjir di kampung berkenaan.

"Kerja-kerja pembaikan ban dilakukan secara berperingkat bergantung kepada pasang surut Sungai Puluh," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Ahmad Fairuz berkata, air turut melimpah melepasi sepanjang ban di Kampung Tok Muda, namun kawasan penempatan dan jalan raya tidak dinaiki air.

Di daerah Sabak Bernam pula, beliau berkata, benteng Sungai Air Tawar yang dibaiki semalam kerana pecah, rebak semula sepanjang 200 meter.

"Benteng Sungai Tebuk Mendeleng pula dilimpahi air ketika air pasang dan terdapat keretakan pada benteng tersebut. Bagaimanapun, keadaan selamat dan terkawal kerana penduduk telah berpindah awal ke pusat pemindahan," katanya.

Tambah Ahmad Fairuz, terdapat juga limpahan air laut di pesisiran Pantai Kelanang, Kuala Langat namun keadaan masih selamat.

Di KEDAH, jumlah mangsa akibat fenomena air pasang besar di enam buah kampung di Kota Kuala Muda di Sungai Petani, pagi ini masih kekal seperti semalam iaitu seramai 94 orang daripada 27 keluarga.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt Muda Pertahanan Awam, Azahar Ahmad berkata kesemua mangsa termasuk 20 warga emas dan seorang warga kurang upaya (OKU) wanita, masih ditempatkan di empat pusat pemindahan yang dibuka sebelum ini.

"Sehingga 9.30 pagi, kesemua mangsa masing-masing masih berada di rumah pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Meriam menempatkan 21 mangsa termasuk dua warga emas, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kuala pula menempatkan 29 mangsa termasuk 12 warga emas dan seorang wanita OKU.

"Seramai 20 mangsa termasuk dua warga emas masih berada di dewan Kampung Paya, dan seramai 24 mangsa termasuk empat warga emas ditempatkan di dewan Masjid Haji Yusof Bukit Kecil," katanya kepada Bernama.

Tambahnya, situasi di enam buah kampung iaitu Kampung Masjid, Kampung Ujung Matang, Kampung Padang Salim, Kampung Yu, Kampung Paya dan Kampung Sungai Meriam, masih diawasi anggota keselamatan walaupun fenomena air pasang besar dijangka berakhir hari ini.

Di PERAK, sembilan kawasan di sekitar Bagan Datoh dinaiki air kira-kira 5.30 pagi tadi, namun tiada kediaman yang terjejas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah Datuk Hamzah Hussin.

Katanya, sembilan kawasan terjejas adalah Tanjung Sari, Kampung Sungai Manila, Kampung Kota, Bagan Ikan, Bagan Sungai Burung, Bagan Sungai Tiang, Bagan Lipas, Bagan Sungai Belukang dan Bagan Pasir Laut.

"Air melepasi ban di kawasan itu, namun sekadar melimpah di kawasan laman rumah penduduk dan air pasang kembali surut sekitar 7 pagi tadi," katanya kepada Bernama.

Di Teluk Intan, tiada kawasan yang dinaiki air awal pagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah Hilir Perak Zulhisham Ahmad Shukori.

-- BERNAMA

Berita Harian X