Rabu, 19 Oktober 2016 | 10:45am

Khatan percuma PERDIM

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 hingga 500 kanak-kanak asnaf akan dikhatankan beramai-ramai di Masjid Putra, Putrajaya, 26 November ini.

Pengarah Sunathon Perdana PERDIM 2016, Norzaidi Zakaria, berkata anak asnaf berkenaan akan disunatkan secara percuma dengan pembiayaan hasil sumbangan orang ramai.

Beliau berkata, program itu anjuran tahun kedua Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), manakala yang pertama bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Program akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Selain kanak-kanak asnaf, PERDIM menjangkakan 1,000 kanak-kanak lain akan turut serta untuk dikhatankan oleh kira-kira 65 doktor bertauliah.

"PERDIM membuka peluang kepada orang ramai menyalurkan sumbangan untuk anak yatim yang akan terbabit, kelak. Sumbangan boleh disalurkan melalui AJK Penajaan, Dr Maziah yang boleh dihubungi menerusi 019-2800057)," katanya dalam kenyataan, di sini.

Program Sunathon Perdana PERDIM kali pertama dianjurkan tahun lalu membabitkan 300 kanak-kanak dikhatan di Masjid Seksyen 13 Shah Alam dan Masjid Bandar Baru Ampang.

Norzaidi berkata, kajian dijalankan mengesahkan bayi berkhatan berisiko 10 kali lebih rendah terkena jangkitan kuman salur kencing yang berupaya merosakkan fungsi buah pinggang dan menyebarkan kuman ke seluruh tisu badan.

Katanya, berkhatan meningkatkan kualiti kehidupan individu dan melindungi daripada risiko penyakit barah zakar, prostat, barah pangkal rahim dan payudara.

"Kuman Human Papilloma Virus (HPV), faktor pencetus barah pada wanita. Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita ketika persetubuhan.

"Kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, kira-kira 20 peratus kadar berlaku barah pangkal rahim boleh dielakkan. Virus sama juga boleh mencetuskan barah payudara," katanya.

Berita Harian X