Selasa, 18 Oktober 2016 | 12:28pm

Izad, Hairi digugurkan dari Trofi Juara-Juara Asia

KUALA LUMPUR: Selepas melakukan eksperimen hampir setahun, Stephen Van Huizen akhirnya menyenaraikan 18 pemain terbaik bagi menyahut cabaran QNET Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Kuantan, Pahang, yang menyingkap tirainya Khamis ini.

Kecederaan tidak diundang yang menimpa pertahanan kiri kental negara, Izad Hakimi Jamaluddin, sedikit memudahkan Stephen untuk mengecilkan saiz barisan pemain terakhir itu

Selain Izad, 24, seorang lagi pemain yang menjadi 'mangsa korban' ialah penjaga gol Sapura, Hairi Rahman, yang tewas dalam perebutan posisi penjaga gol nombor dua negara kepada tonggak THT, Hafizuddin Othman, dengan S Kumar sudah automatik terpilih.

Namun, paling mengejutkan adalah keputusan pengendali skuad kebangsaan itu memanggil semula 'budak nakal' Faizal Saari biarpun pada satu ketikanya menegaskan kecergasan penyerang sensasi itu belum mencapai tahap terbaik.

Walaupun sekadar menyumbat dua gol di pentas Liga Hoki Australia, baru-baru ini ketika bersama Skuad Pembangunan, ia sudah memadai untuk penyerang kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu meyakinkan barisan jurulatih bahawa dia sudah bersedia untuk kembali.

Kali terakhir beliau menyarung jersi skuad senior negara adalah pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL), Julai tahun lalu.

Ia seperti memberi isyarat jelas betapa tekanan mula memuncak dihadapi Stephen selepas mengutip beberapa keputusan biasa sejak mengambil alih pasukan pada Oktober tahun lalu, termasuk penamat kelima daripada enam pasukan, yang bertanding di Piala Sultan Azlan Shah, April lalu.

Buat pertama kali juga dalam tempoh lebih setahun, trio tiga 'F' iaitu Faizal, adiknya Fitri Saari dan Firhan Ashar,i akan kembali mengetuai jentera serangan negara di samping Nabil Fiqri Mohd Noor.

Kelibat pemain serangan lain seperti Haziq Samsul, Rashid Baharom, Nik Aiman Rozemi dan Shahril Saabah juga ditagih ketika saingan ini menawarkan mata ranking dunia Persekutuan Hoki Dunia (FIH).

Selain itu, kecederaan yang menimpa seorang lagi pertahanan Baljit Singh juga membuka peluang kepada pemilihan pemain muda Tenaga Nasional Berhad (TNB), Najib Abu Hassan, yang akan beraksi dalam kejohanan utama kedua selepas Piala Sultan Azlan Shah 2016.

Tonggak tengah KLHC, Azri Hassan dan Joel Van Huizen (Sapura) pula dikhabarkan terpilih rentetan penarikan diri penyerang TNB, Ramadan Rosli, yang baharu mendirikan rumah tangga minggu lalu.

Senarai 18 Pemain

S Kumar, Hafizuddin Othman (penjaga gol); Razie Abd Rahim, Najib Abu Hassan, Sukri Mutalib, Najmi Farizal Jazlan, Faiz Helmi Jali (pertahanan); Nabil Fiqri Mohd Noor, Azri Hassan, Joel Van Huizen, Nik Mohammad Aiman Nik Rozemi, Meor Muhamad Azuan Hasan, Fitri Saari (tengah); Faizal Saari, Firhan Ashari, Haziq Samsul, Rashid Baharom, Shahril Saabah

Berita Harian X