Isnin, 17 Oktober 2016 | 10:59pm

Cub Prix: Peluang Kasma sah kejuaraan di Jempol


KEJUARAAN Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016.

KUALA LUMPUR: Perlumbaan pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 di Jempol, Negeri Sembilan dijangka sengit dengan beberapa pelumba termasuk pendahulu keseluruhan CP130, Kasma Daniel Kasmayuddin berpeluang dinobatkan juara keseluruhan, hujung minggu ini.

Berlangsung di litar sepanjang 1.104 kilometer yang dibina sementara di kawasan utama Felda ini tidak banyak berbeza berbanding litar-litar yang berada dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix yang lain, namun sepanjang dua musim lalu, ia menjadi penentu juara keseluruhan bagi kategori CP130 dan CP115.

Pada tahun 2014, Mohd Zaqhwan Zaidi dan Mohd Izzat Zaidi bergelar juara keseluruhan bagi kategori CP130 dan CP115 manakala pada tahun lalu, Ahmad Fazrul Sham dan Kasma Daniel Kasmayudin pula mengesahkan gelaran selaku juara CP130 dan CP115.

Ia dijangka berulang pada tahun ini apabila dalam kelas CP130, pertarungan terarah kepada dua pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor, Kasma dan Ahmad Fazli Sham yang kini dibezakan dengan 22 mata.

Kasma berada di tangga teratas dengan 158 mata.

Seandainya Kasma menamatkan perlumbaan dengan kelebihan tiga mata ke atas Fazli, ia sudah cukup untuknya dinobatkan selaku juara keseluruhan musim 2016 sekali gus menjadi pelumba ketiga yang bergelar sebagai juara keseluruhan CP130 di Jempol.

"Saya akan menghadapi perlumbaan minggu ini seperti biasa, tanpa tekanan ataupun kebimbangan terhadap peluang memenangi gelaran. Saya yakin pasukan seperti biasa akan mempersiapkan jentera terbaik untuk kami," kata Kasma.

"Saya mempunyai kenangan manis di litar Jempol kerana dinobatkan sebagai juara keseluruhan CP115 di sini. Saya akan mencuba sebaik mungkin untuk sekali lagi bergelar juara keseluruhan di litar ini dan meneruskan kesinambungan litar Jempol sebagai litar bersejarah buat pelumba."

Sementara itu, berbeza dengan musim lalu, saingan CP115 tampak sengit dengan tiga pelumba teratas, pendahulu, Md Akid Aziz dan rakan sepasukan, Md Haziq Fairues yang berada di kedudukan ketiga dengan Tengku Amirul Haffirudin di kedudukan kedua.

Dengan kelebihan 46 mata selaku pendahulu, Md Shafiq Ezzariq hanya perlu mengutip sekurang-kurangnya empat mata saja bagi mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori WIRA sekali gus mengekalkan gelaran ketiga berturut-turut buat pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing

Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan bermula pada 9 pagi 22 Oktober dan 23 Oktober. Tiada sebarang bayaran masuk kepada pengunjung.

Berita Harian X