Isnin, 17 Oktober 2016 | 9:29pm

CIMB tinjau JV perniagaan pembrokeran saham di China

KETUA Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz (kiri) bersalaman dengan Timbalan Pengerusi dan Presiden Galaxy Securities Co. Ltd, Gu Weiguo, (kanan) pada majlis memeterai kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak di ibu pejabat Galaxy Securities, Beijing. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd dan China Galaxy Securities Group semalam memeterai terma bersyarat induk bagi meninjau perkongsian strategik dalam perniagaan pembrokeran saham di China.

Perjanjian itu dimeterai di antara anak syarikat CIMB Group, CIMB Group Sdn Bhd dan China Galaxy International Financial Holdings Limited (CGI), anak syarikat China Galaxy Securities Group.

Selain meneroka perkongsian strategik dalam perniagaan pembrokeran saham, perjanjian itu juga untuk mengenal pasti bidang kerjasama lain dalam pasaran relevan yang mana mereka beroperasi.

CIMB Group, satu daripada bank universal terbesar Asia dan China Galaxy Securities Group, satu daripada syarikat sekuriti terbesar China, sedang berunding usaha sama (JV) 50:50 dalam perniagaan pembrokeran saham.

CIMB terus menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan pelaburan serta pasaran modal kepada pelanggan, manakala syarikat usaha sama akan menjalankan perniagaan pembrokeran saham, menyediakan platform pengedaran ekuiti dan perkhidmatan penyelidikan untuk melengkapkan serta menyokong perniagaan perbankan pelaburan miliki penuhnya dan pasaran modal.

Usaha sama itu memperlihatkan kedua-dua peneraju dalam pasaran masing-masing menggabungkan kepakaran dan capaian mereka untuk mempertingkatkan serta mengangkat perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata usaha sama itu menjadi petunjuk masa depan bagi perniagaan pembrokeran saham.

Katanya, model pemain usaha sama broker tulen dilaksanakan secara strategik dengan bank adalah model hibrid yang membuka jalan bagi kedua-dua pihak untuk mewujudkan keupayaan lebih kukuh dan mendalam lebih awal.

"Kami juga yakin dengan China Galaxy Securities Group sebagai rakan kongsi dalam JV ini, CIMB juga akan lebih baik untuk menguasai peningkatan aliran perdagangan dan pelaburan dengan China," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Susulan pemeteraian terma bersyarat induk itu, kedua-dua pihak akan memuktamadkan rundingan dan menyasarkan melaksanakan perjanjian muktamad dalam tempoh tiga bulan.

Melalui usaha sama itu, CIMB akan berada dalam kedudukan terbaik untuk mengambil kesempatan daripada penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang dilakukan syarikat China dan aktiviti pasaran modal lain menerusi sinergi dipertingkatkan dan peluang jualan silang.

Ia juga memperoleh manfaat daripada tumpuan China pada projek pembangunan infrastruktur, seperti projek "One Belt One Road", yang akan memudahkan pertumbuhan, penggunaan dan aliran modal ke rantau ini.

INFO

* CIMB Group menawarkan perbankan pengguna, perbankan pelaburan, perbankan Islam, pengurusan aset dan produk insurans dan perkhidmatan.

* Mempunyai operasi di 10 negara ASEAN

* Selain ASEAN, ia mempunyai kehadiran di China, Hong Kong, India, Sri Lanka, Taiwan, Korea, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom

* Mempunyai kira-kira 40,000 pekerja di 16 negara

Berita Harian X