Isnin, 17 Oktober 2016 | 3:30pm

23 warga Filipina dipenjara, denda


Seramai 23 warga Filipina termasuk lapan wanita masing-masing dihukum penjara dua tahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung selepas mengaku bersalah menggunakan MyKad palsu dan MyKad milik orang lain. - Foto Muhaizan Yahya

SERI MANJUNG: Seramai 23 warga Filipina, termasuk lapan wanita masing-masing dihukum penjara dua tahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan MyKad palsu dan MyKad milik orang lain.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim turut memerintahkan mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman.

Tertuduh yang berusia antara 23 hingga 47 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Kampung Acheh dan Taman Samudera di sini, ketika ditangkap dalam operasi bersepadu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi, Jumaat lalu.

Seramai 15 orang dituduh menggunakan MyKad palsu manakala lapan dituduh menggunakan MyKad milik orang lain.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Ketua Unit Pendakwaan JPN, Mohd Fazdhly Abdul Razak dan Pegawai Pendakwa, Mohd Ashgar Mohd Hussain manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X