Isnin, 17 Oktober 2016 | 9:05am

5 pendaki sesat diselamatkan

SEREMBAN: Lima pelajar sebuah kolej perubatan sesat lebih tujuh jam di Gunung Berembun di Jelebu di sini, sebelum diselamatkan pasukan bomba awal pagi tadi.

Mereka yang berusia awal 20-an dikatakan mendaki gunung itu bersama lima rakan jam 8 pagi semalam dari kaki gunung berhampiran pekan Pantai di sini, dan tiba di puncak kira-kira jam 1 tengah hari.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohamad Idris, berkata mereka berpecah kepada dua kumpulan ketika turun, dengan lima pendaki memulakan perjalanan jam 3 petang.

"Kumpulan pertama tiba di kaki gunung kira-kira jam 6 petang sebelum mendapati lima rakan mereka mengambil masa terlalu lama untuk tiba dan membuat laporan polis.

"Bomba menerima laporan jam 10.30 malam dan segera memulakan operasi mencari dan menyelamat.

"Semua pendaki yang tersasar dari trek ditemui dalam keadaan keletihan kira-kira dua jam kemudian," katanya di sini, hari ini.

Berita Harian X