Isnin, 17 Oktober 2016 | 12:07am
ARTIS, Tasha Shilla. - Foto Nazran Jamel
TASHA di sidang media Teater Sejarah Dan Patriotik Sempena Bulan Keputeraan DYMM Selangor December 2016.

Tasha Shilla serik dilanda kontroversi, mahu bina hidup baru

KUALA LUMPUR: Membina laluan yang meyakinkan pada permulaan kerjayanya, namun himpunan kontroversi yang berterusan menghimpit hampir menoktahkan langkah seni Tasha Shilla.

Sepanjang 2015, anak kelahiran Ampang, Selangor sering menjadi fokus hangat di laman sosial hingga tumpuan khalayak tidak lagi terarah kepada perjalanan kerjayanya.

Kesan kontroversi itu juga, pelakon yang mencipta nama menerusi filem Ratu The Movie hampir lenyap dari radar industri hiburan.


ARTIS, Tasha Shilla pada sidang media Teater " Putera La Li Go " di Shah Alam Convention Centre (SACC). - Foto Nazran Jamel

Tawaran perlahan-lahan menjauhi mendesak Tasha untuk kembali bergelut memulihkan semula reputasi gara-gara hilang percaturan diri.

Hampir setahun dirinya berusaha, mengutip semula kekuatan untuk berdiri kukuh, Tasha akhirnya mampu menghela nafas lega apabila kepercayaan kembali bertandang.

Bakat yang setahun lalu dipandang sepi kembali menyerlah apabila satu demi satu tawaran mendekati.

"Semua yang saya lalui dahulu adalah dugaan hidup. Bohong jika saya tidak sedih dan risau, namun sebagai manusia, saya perlu hadapi serta terus berjalan tanpa henti. Saya cukup terkesan dengan kontroversi yang melanda, malah hampir hilang pertimbangan diri.


TASHA (dua dari kanan) bersama rakan artis.

"Alhamdulillah ketika saya dalam kesusahan, keluarga sentiasa di sisi. Saya beruntung kerana peminat juga tidak menjauhi, sebaliknya sentiasa memberi sokongan supaya saya segera bangkit meneruskan langkah yang hampir terhenti," katanya kepada BH.

Peluang kedua yang diberikan, membulatkan tekadnya untuk membina semula reputasi seperti awal kemunculannya hampir sedekad lalu. Tasha mahu bakatnya dilihat dan dihargai, bukan lagi mengabdikan diri kepada isu sensasi untuk meraih perhatian khalayak.

"Silap saya kerana membiarkan diri hanyut dan terjebak dalam kontroversi yang tidak berkesudahan.

"Semua itu bukan kemahuan, malah saya juga tidak ingin ia berlaku. Kini fokus saya adalah diri, keluarga dan kerjaya. Hal lain saya serahkan kepada Yang Maha Esa," katanya.

Enggan dihanyut cinta

Pelakon bermata galak ini juga berjanji untuk tidak lagi asyik membiarkan lagi dirinya dihanyut cinta. Mengenang episod percintaan lalu yang penuh duri dan rintangan, membuatkan Tasha trauma.

Kisah cinta yang tidak kesampaian, seterusnya mengheret Tasha terjebak dalam pelbagai kisah panas membuat Tasha enggan lagi meletakkan cinta sebagai fokus utama.

Akui Tasha, dirinya kini bahagia bersendirian malah lebih bebas menentukan haluan hidupnya.

"Cinta bukan lagi keutamaan, malah saya tidak mahu berterusan mengejar sesuatu yang tidak pasti. Biarlah nanti apabila tiba masa, perasaan itu hadir dengan sendiri. Ketika ini, banyak perkara lain yang perlu saya dahulukan terutama hal berkaitan kerjaya," tegasnya.

Tasha bagaimanapun tidak menafikan, masih ada lelaki yang tidak pernah jemu menghulur salam perkenalan. Bahkan, ada yang lebih berani datang melamar untuk menjadikannya suri hati.

"Tiada guna saya menipu kerana memang ada yang cuba serius mendekati. Ada di antara lelaki ini fikir, saya mudah digula-gulakan untuk menerima cinta mereka. Saya tidak memandangkan kemewahan. Seandainya ditakdirkan kembali bercinta, saya berharap dipertemukan dengan lelaki yang jujur.

"Saya mendambakan lelaki yang betul-betul bersedia mahu membimbing saya ke arah kebaikan," katanya.


TASHA bersyukur satu demi satu tawaran mendekati.

Ruang perbaiki diri

Bakal melewati usia 30 tahun pada Januari depan, Tasha mengakui, kontroversi mematangkannya menguruskan perjalanan masa depannya.

Andai dulu, masanya banyak dihabiskan dengan aktiviti tidak berfaedah, kini 100 peratus fokus diberikan untuk memburu kecemerlangan.

Tasha berikrar untuk tidak lagi membiarkan dirinya bergelumang dengan kontroversi. Malah 2016 yang masih berbaki mahu diharunginya bersama tekad untuk menjadi manusia yang lebih baik berbanding semalam.

"Setiap insan melakukan kesilapan, begitu juga saya. Bagi saya, jangan takut mengakui kesilapan. Dari situ, kita belajar memperbaiki diri dan selebihnya serahkan kepada Allah untuk menentukan.

"Paling penting, kita perlu sayangi dan hargai diri sebelum mengutamakan keperluan lain," katanya.

Cari kepuasan dengan teater

Terbaharu, Tasha bakal beraksi sebagai Puteri Perak dalam pementasan teater bersejarah Selangor, Putera La Galigo pada Disember ini.

Tasha berkata, membintangi teater adalah antara pencapaian terbesar dalam kerjaya lakonannya kerana sudah lama berharap untuk kembali beraksi selepas kali pertama mencuba dalam pementasan Takhta Tiga Ratu.

"Lakonan teater memberikan impak dan kepuasan yang dicari-cari oleh seseorang pelakon. Teater mencabar bakat seni saya, terutama apabila dituntut bersilat dan menyanyi," katanya.

Sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Diari Cinta Kita, Tasha berkata, rutin hariannya semakin padat apabila terpaksa bergegas menghadiri latihan teater pada sebelah malam.

"Cabaran teater ini terlalu besar, tetapi saya akan terus berlatih memantapkan diri sebelum beraksi di pentas sebenar," katanya.

Tasha juga mengakui, dirinya semakin selektif dalam mencari watak yang ingin dibawa untuk memastikan kerjaya lakonannya menunjukkan peningkatan. Tasha ingin dirinya nanti diingati peminat sebagai pelakon serba boleh.

Berita Harian X