Ahad, 16 Oktober 2016 | 5:17pm

Benteng di pesisir pantai Selangor dipantau 24 jam


ANGGOTA Unit Dron UAV, Pengurusan Bencana Selangor membuat persiapan untuk meninjau pergerakan ombak dari udara berikutan fenomena air pasang besar di Pusat Operasi Bencana Kampung Tok Muda, Klang. - Fot Rosdan Wahid

KLANG: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memantau pesisir pantai Selangor secara berterusan bagi mengelaknya daripada pecah seperti yang berlaku di Batu 5, Kapar, awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Zaitun Ab Samad, berkata langkah berjaga-jaga perlu diambil kerana air pasang besar dijangka meningkat sehingga 5.7 meter esok, melebihi paras 5.5 meter yang direkodkan hari ini.

"JPS dibantu semua agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Malah, Unit Pengurusan Bencana Selangor turut menggunakan dron untuk memantau perkembangan dari udara.

"Benteng pecah di Batu 5 sudah dibaiki dan diperkukuhkan, jadi orang ramai tidak perlu bimbang," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat penempatan mangsa bencana di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, di sini, hari ini.

Zaitun meminta orang ramai tidak panik kerana guni pasir yang digunakan sebagai benteng mampu menahan limpahan air laut, walaupun jika paras air meningkat sehingga 5.7 meter.

"Kita minta orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa. Kalau diarah berpindah, ikut saja.

"Limpahan air mungkin tidak membahayakan tetapi lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Sebanyak 17 lokasi membabitkan lima daerah di Selangor diramal berdepan banjir berikutan fenomena air pasang besar luar biasa yang dijangka berlaku bermula hari ini hingga Rabu ini.

Berita Harian X